‘Speedy Tigers’ Lonjak Nama Malaysia

SINGAPURA, 26 Jan (Bernama) — Skuad hoki Malaysia yang dikenali dengan gelaran ‘Speedy Tigers’ melonjakkan nama negara apabila muncul juara Pusingan Kedua Hoki Liga Dunia, sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan ranking ke-12 dunia.

 

Anak didik jurulatih kebangsaan, Tai Beng Hai itu ternyata menunaikan janji yang dicanang sebelum ini, mahu menjadi juara ataupun sekurang-kurangnya dua pasukan terbaik pada kejohanan itu.

 

Malaysia memperoleh kejayaan itu selepas menundukkan Poland dengan mudah, 8-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Sengkang, pada Ahad.

 

Kejayaan itu membawa Malaysia untuk mara ke saingan separuh akhir WHL yang dijadual berlangsung di Argentina atau Belgium, bersama-sama Poland dan pemenang tempat ketiga, Jepun.

 

Pada perlawanan penuh berprestij itu, pemain penyerang negara, Faizal Saari yang membuat penampilan ke-165 bermula dari penglibatannya sejak 2009, menerima anugerah pemain terbaik kejohanan dan penjaring terbanyak.

 

Faizal menjaringkan 12 gol sepanjang kejohanan berlangsung pada 16 hingga 25 Jan, dibarisi lapan pasukan iaitu tuan rumah, Singapura, Malaysia, Jepun, Oman, Ukraine, Bangladesh dan Mexico.

 

12 gol itu adalah himpunan daripada satu gol melawan Ukraine, dua gol ketika bertemu Oman, satu gol menewaskan Mexico, enam gol dalam aksi memalukan Singapura dan dua gol pada perlawanan akhir menentang Poland, semalam.

 

“Sebenarnya saya tak sangka dapat anugerah pemain terbaik sebab saya belum pernah dapat sebarang anugerah antarabangsa macam ni.

 

“Saya bangga dengan kejayaan ini yang dicapai bersama pasukan yang telah memberikan satu komitmen bagus,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

 

Faizal berkata beliau mahu pasukannya membuktikan ‘taring’ sebenar ketika beraksi pada separuh akhir WHL sebagai persediaan melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

 

Sementara itu, perunding pasukan Malaysia, Neil Hawgood bersetuju bahawa Faizal merupakan seorang pemain berbakat dan perlu digilap untuk kejayaan masa depan.

 

“Beliau memerlukan masa…dalam beberapa tahun beliau akan lebih baik daripada ini. Secara keseluruhan, saya kagum dengan pencapaian Malaysia. Mereka menguasai perlawanan sejak awal.

 

“Buat permulaanya, saya tidak terfikir Malaysia boleh mengalahkan Poland 8-0, namun, pasti bahawa mereka akan menguasai perlawanan,” katanya yang akan memulakan tugas sebagai perunding pasukan hoki negara pada Februari.

 

Mengulas mengenai misi seterusnya ke Belgium atau Argentina, Hawgood berkata jika Malaysia bermain seperti semalam (perlawanan akhir), skuad negara mempunyai peluang untuk berjaya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.