Rotan Anak: Jangan Tergesa-gesa Hukum Ibu Bapa – Shahrizat

SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diingatkan tidak tergesa-gesa memperkenalkan hukuman merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah.

 

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan meskipun pihaknya mempertahankan hak kanak-kanak namun kerajaan tidak boleh mengabaikan aspek lain termasuk mengikut acaun negara.

 

“Pindaan ini perlu diteliti dengan lebih mendalam serta meminta supaya pihak kerajaan tidak tergesa-gesa untuk menggubal rang undang-undang baharu yang bakal menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001.

 

“Kerajaan tidak perlu tergesa-gesa melaksanakan obligasinya supaya kepentingan terbaik kanak-kanak serta keluarga mereka turut diambil kira, selaras dengan acuan kita sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berhubung cadangan untuk menjadikan merotan anak sebagai satu kesalahan jenayah.

 

Terdahulu, Malaysia menganggotai Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) pada 1995 yang menuntut kerajaan mengambil segala langkah perundangan dan pentadbiran sewajarnya untuk melindungi kanak-kanak daripada segala bentuk penganiayaan oleh ibu bapa atau pihak lain yang bertanggungjawab menjaga mereka.

 

Dalam pada itu, Shahrizat berkata lagi, ibu bapa perlu diberi ruang untuk mendisiplinkan anak-anak mereka, tetapi tidak sehingga peringkat mendera.

 

“Saya merujuk kepada keputusan menjatuhkan hukuman ke atas ibu bapa yang merotan anak mereka (seperti kes Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshaldi di Switzerland pada 2014) boleh membawa kepada pemisahan sementara antara kanak-kanak dengan ibu bapa mereka.

 

“Ada pihak yang menyatakan bahawa perkara ini mungkin bercanggah dengan Artikel 9 CRC yang menyatakan bahawa kanak-kanak tidak boleh dipisahkan daripada ibu bapanya tanpa kerelaannya,” katanya lagi.

 

Sehubungan itu, katanya Wanita Umno menggesa Jabatan Peguam Negara mengadakan satu pertemuan segera dengan semua pihak berkepentingan termasuk Wanita BN untuk mendengar penjelasan dan maklum balas mengenai kesan terhadap pindaan undang-undang yang akan dilakukan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.