Pilihan Raya PBT Susahkan Rakyat

PERMATANG PAUH 25 Jan. – Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak perlu diadakan di negeri ini kerana tindakan tersebut boleh meresahkan rakyat.

 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, pelaksanaannya akan menimbulkan konflik dalaman dan politik yang berpanjangan sekali gus menguntungkan kaum Cina yang tinggal di bandar.

 

Katanya, pilihan raya itu juga tidak sesuai diadakan kerana boleh menyebabkan rakyat berada dalam dilema kerana berlakunya kempen politik tidak berhenti.

 

“DAP janganlah terlalu kemaruk kuasa kerana boleh mencacatkan pentadbiran apabila pilihan raya PBT diadakan.

 

“Sudah cukup kita mengadakan pilihan raya umum di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) lima tahun sekali,” katanya di sini hari ini.

 

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Keluargaku Ahli UMNO dan Daftar Pemilih Peringkat negeri serta Penyampaian Sumbangan di Wisma Transformasi UMNO Bahagian Permatang Pauh di Tanah Liat di sini.

 

Zainal Abidin diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang mendakwa pilihan raya PBT yang diperjuangkan sekutunya, DAP akan hanya mencetuskan suasana tidak stabil dan melebarkan jurang masyarakat apabila memberi ‘keuntungan’ kepada penduduk bandar yang majoritinya kaum Cina.

 

Sebelum ini akhbar melapor­kan dakwaan DAP bahawa Pas tidak pernah membangkitkan bantahan terhadap hasrat kerajaan DAP Pulau Pinang untuk melaksanakan pilihan raya PBT di negeri itu.

 

Zainal Abidin berkata, sistem pemilihan ahli majlis yang diamalkan di PBT sekarang sudah cukup sesuai kerana ahli majlis yang tidak berkemampuan boleh digantikan dengan ahli baharu.

 

“Ini akan melancarkan pentadbiran majlis dan jika pilihan raya PBT diadakan, ahli yang tidak buat kerja tidak boleh ditukar sesuka hati kerana perlu dipilih semula. Ini sekali gus menjadikan politiking berlaku dalam PBT,” katanya.

 

Pulau Pinang mempunyai dua majlis perbandaran iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.