Penuntut UiTM Didakwa Sokong IS

Sepang: Seorang penuntut Kejuruteraan Marin Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis berusia 23 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi sokongan kepada militan Negara Islam (IS).

 

Tertuduh Wan Mohammad Arif Wan Rokman yang berasal dari Besut, Terengganu dituduh cuba memberi sokongan kepada IS dan dalam percubaan memberi sokongan itu dia hendak menjadi ahli kepada IS.

 

Lelaki itu ditahan pada 28 Disember jam 10.15 malam di hadapan pintu C15 Balai Perlepasan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan cara mengambil penerbangan pesawat Turkish Airlines ke Istanbul.

 

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dan kes akan disebut semula pada 30 Mac ini untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

 

Pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Aizatul Akmal Maharam dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

 

Tertuduh juga didakwa atas pertuduhan pilihan iaitu dengan pengetahuan mengambil penerbangan pesawat Turkish Airline dari KLIA ke Istanbul Turki cuba memberi sokongan kepada IS dan dalam cubaan itu dia hendak memasuki Syria melalui Istanbul untuk manfaat kumpulan IS.

 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130 (1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Kanun 511 kanun yang sama dan boleh dihukum dibawah seksyen 130J.

 

Sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak lebih dari 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang sudah digunakan atau diniat bagi melakukan kesalahan itu.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.