Peluang Bertemu ‘Harry Potter’

Shah Alam: Orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan sendiri kostum dan pelbagai prop yang digunakan dalam pembikinan siri filem fantasi Harry Potter di Studio Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, di sini, semalam.

 

Sejak jam 10 pagi, orang ramai dari pelbagai lapisan usia tidak putus-putus mengunjungi pameran Harry Potter yang dianjurkan Hollywood Malaysia Flash Museum (HMFM).

 

Pengarah Media HMFM Mohd Razeef Shah Mohmad Rafik berkata, pameran berkenaan memberi peluang kepada peminat fanatik watak serta filem berkenaan yang menjadi kegilaan di seluruh dunia melihat lebih dekat barang dan pakaian yang digunakan ketika pembikinan filem Harry Potter.

 

“Kami mahu berkongsi dan memberi pendedahan kepada generasi belia di negara ini untuk merasai sendiri pengalaman melihat kostum dan prop yang sukar didapati di negara ini.

 

“Barang yang dipamerkan ini memang dibawa khas dan asli daripada beberapa siri filem fantasi Harry Potter dan berharap pameran seperti ini dapat menyuntik semangat kepada remaja dan peminat filem serta buku berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

 

Peminat, Andy Tan, 36, berkata, dia mendapat tahu mengenai pameran itu melalui laman sosial Facebook dan teruja mahu menghadirinya kerana menganggapnya sesuatu yang sukar untuk didapati di Malaysia.- Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.