Majoriti Peserta Demo Anak Keramat, Bukan Orang Luar – Saleh Samad

SHAH ALAM: Jika Menteri Besar Selangor, Azmin Ali turun padang bersemuka dengan penduduk bagi menyelesaikan isu bantahan projek Datum Jelatek, beliau akan kenal siapa yang membuat demonstrasi semalam.

 

Itu penegasan Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek (BBDJ), Salleh Samad ketika dihubungi Antarapos, pagi ini.

 

“Yang ikat kain lilit di kepala mereka itu…orang Keramatlah. Tak kan dia (Azmin) tak kenal? Orang dia…orang Keramat. Kalau dia tak kenal, itu pasal dia tak turun Keramat.

 

“Dah dua tahun kita suruh jumpa kita pun, dia tak nak jumpa,” katanya ketika dihubungi Antarapos.

 

Pagi tadi, Azmin ketika menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-jabatan Kerajaan di Shah Alam membayangkan kemungkinan bantahan di tapak pembinaan Datum Jelatek semalam adalah didalangi ‘orang luar’.

 

Beliau juga menyuruh pemberita memastikan adakah benar peserta demonstrasi itu merupakan penduduk tempatan.

 

“Mereka tu siapa? Anda pasti mereka adalah penduduk tempatan?,” soalnya kembali selepas disoal pemberita bersabit isu itu.

 

Azmin dipercayai berkata demikian merujuk kepada penglibatan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dalam demonstrasi itu.

 

Bagaimanapun Saleh menyanggah hujah Azmin itu dan berkata adalah perkara biasa untuk mana-mana NGO memberikan sokongan.

 

“NGO Perkasa itu, dia menyokong (isu bantah Datum Jelatek) biasalah, mana-mana isu NGO bagi sokongan moral. Yang bertindak kasar…mereka tidak terlibat.

 

“Kalau kita tengok gambar-gambar yang diambil, yang bertindak ganas adalah anak Keramat sendiri. Orang luar tak kan boleh ada semangat macam itu. Ini semangat anak Keramat yang kawasan mereka diceroboh, dizalimi. Naik anginlah mereka,” ujar Saleh.

 

Saleh berkata, siri bantahan projek mewah itu akan berterusan dan ia semakin bermakna apabila anak muda generasi ketiga mula bangkit dan berikrar akan mempertahankan hak mereka yang dinafikan kerajaan negeri.

 

“Benda ini (bantahan) akan berterusan. Dia tak akan putus bila generasi ketiga sudah bangun. Saya hanya mewakili orang tua, generasi kedua.

 

“Sekarang bila generasi ketiga dah bangun untuk dapatkan hak mereka, yang sepatutnya mereka dapat rumah mampu milik di kawasan itu,” ujar Saleh lagi.

 

Semalam, lebih 200 penduduk Keramat berkumpul dan menceroboh masuk ke kawasan tapak pembinaan Datum Jelatek kerana tidak puas hati terhadap pemaju yang enggan memberhentikan pembangunan itu.

 

Bagaimanapun keadaan itu berjaya dikawal polis.

 

Saleh dalam pada itu menempelak kata-kata Azmin pagi tadi kononnya kerajaan negeri sentiasa mengamalkan dasar membenarkan bantahan dikemukakan, khususnya daripada pihak yang terlibat, sebelum sesuatu pembangunan dilakukan.

 

“Daripada tahun lepas, kita hantar memorandum pun tak jawab..macamana? Dah dua tahun isu ini. (Azmin) jangan nak kelentonglah,” jawab Saleh sinis.

 

Saleh juga menempelak kenyataan yang dibuat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bahawa sekurang-kurangnya 674 pembeli rumah Datum Jelatek yang sedang dalam pembinaan itu, adalah terdiri daripada kalangan bumiputera.

 

“Itu pembohong. Selagi mereka tak jumpa kita, berdialog dengan kita, tunjukkan bukti-bukti mereka…kami tak akan percaya.

 

“(Pemaju) naikkan banner (banner milikan 100% bumiputera) dua hari sebelum kami buat program demonstrasi tu. Kita bantah sebab tak mahu bangsa asing masuk kawasan itu.

 

“Tiba-tiba naik banner 100% bumiputera. Nampak penipu. Esok-esok, bila orang Melayu tak mampu beli, pemaju akan buka kuota semula. Ini strategi pemaju,” jelas Saleh panjang lebar.

 

Penduduk Keramat pada mulanya dijanjikan pembangunan semula kawasan perumahan kos rendah dan dalam diam bertukar menjadi cadangan empat bangunan ekslusif merangkumi unit kediaman, pejabat, hotel dan pusat beli-belah yang disasarkan untuk golongan berpendapatan tinggi dan korporat.

 

Turut menambah rasa berang penduduk apabila rumah yang sedang dalam pembinaan itu dikatakan bermula dengan harga serendah RM700,000. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.