Kes Liwat: Anwar Yakin Boleh Menang

SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin akan dibebaskan dalam  sabitan bersalah tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang akan diumumkan 10 Februari depan.

 

Anwar berkata, berdasarkan penghujahan pasukan guaman, beliau yakin akan dibebaskan kerana perincian fakta dan undang-undang kukuh yang telah dibentangkan di hadapan panel Mahkamah Persekutuan.

 

“Saya panjatkan doa pada ALLAH Yang Maha Esa agar keadilan dapat ditegakkan dan saya dibebaskan.

 

“Fitnah tidak wajar dijadikan alat dalam tinju politik dan diberi ruang untuk memporak-perandakan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

 

Keputusan rayuan terakhir Anwar terhadap sabitan bersalah tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya bakal diumumkan 10 Februari depan.

 

Perkara itu dinyatakan melalui laman mikro Twitter Badan Kehakiman Malaysia.

 

Peguam Ram Karpal Singh yang mewakili Anwar mengesahkan telah menerima notis daripada Mahkamah Persekutuan mengenai tarikh keputusan berkenaan melalui faks.

 

Anwar, 68, mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkannya bersalah meliwat bekas pembantu peribadi, sembilan tahun lalu.

 

Pendengaran hujahan rayuan itu berlangsung selama lapan hari di hadapan lima panel hakim, dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria bermula 28 Oktober 2014.

 

Turut sama bersidang Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Raus Sharif; Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdul Hamid Embong; Tan Sri Suriyadi Halim Omar; Datuk Ramly Ali.

 

Pada 9 Januari 2012 , Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Saiful di kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

 

Mahkamah Rayuan Pada 7 Mac tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara lima tahun  selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mendapati Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bersalah. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!