Kempen Penjelasan Mengenai GST Beri Hasil Positif

KUALA LUMPUR: Tinggal hanya dua bulan lagi sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

 

Berdasarkan kepada maklum balas terhadap kempen pengiklanan dan penerangan untuk mendidik orang ramai mengenai GST, rakyat Malaysia tampak bersedia menghadapi pelaksanaan cukai kepenggunaan baharu itu.

 

Bagi tujuan kempen pelaksanaan GST yang akan dikuatkuasakan pada 1 April depan, sejumlah RM17 juta dibelanjakan dari tahun 2010 sehingga akhir tahun lepas, kata Timbalan Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan MA. Sivanesan.

 

Kesan positif

 

Hasilnya, menurut Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan Datuk S. Kumaran, kerajaan berupaya mendekati lebih 50,000 orang setiap hari melalui iklan di media cetak dan elektronik, termasuk paparan di papan iklan serta ‘posting’ di laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter.

 

Beliau berkata dalam kajian yang dijalankan oleh bahagian itu bagi menilai sambutan orang ramai terhadap paparan iklan-iklan GST di dalam media arus perdana pada Disember lepas, 80 peratus daripada responden menyatakan bahawa iklan berkenaan memberi kesan positif ke atas mereka.

 

Sebanyak 17 peratus pula melaporkan kesan “neutral” manakala baki tiga peratus melaporkan maklum balas “negatif”.

 

Kumaran berkata pengguna media sosial juga mula menunjukkan sokongan mereka untuk pelaksanaan GST. Awal tahun lepas, hanya kira-kira 10 peratus daripada mereka yang mencatatkan maklum balas positif terhadap GST di dalam akaun-akaun Facebook dan Twitter milik kerajaan.

 

“Beransur-ansur, peratusan positif terhadap pelaksanaan ini meningkat kepada 20 peratus dan kini kira-kira 40 peratus.

 

“Untuk memenangi hati pengguna media sosial adalah sangat mencabar kerana mereka banyak dipengaruhi oleh parti-parti politik pembangkang… namun, keseluruhannya kami berpuas hati dengan maklum balas yang diterima,” katanya kepada Bernama.

 

Kadar enam peratus GST, yang dikenakan ke atas penggunaan barang-barang dan perkhidmatan di setiap peringkat rangkaian bekalan, akan dikuatkuasakan pada 1 April depan. Ia menggantikan kadar lima hingga 10 peratus Cukai Jualan dan enam peratus Cukai Perkhidmatan (SST).

 

 Mendidik orang ramai

 

Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Subromaniam Tholasy turut gembira dengan maklum balas orang ramai terhadap kempen pengiklanan GST kerajaan.

 

“Pada peringkat permulaan (ketika mengadakan iklan), persepsi umumnya adalah negatif. Sekarang kedua-dua pihak iaitu pengguna dan perniagaan menyedari manfaat pelaksanaan GST,” katanya kepada Bernama.

 

Sivanesan berkata kempen pengiklanan tahun ini akan memberi tumpuan kepada penjelasan lanjut kepada umum mengenai GST dan bagaimana ia akan memberi manfaat kepada generasi akan datang.

 

Namun, beliau tidak menyatakan jumlah peruntukan yang disediakan kerajaan untuk membiayai kempen terbaru berkenaan.

 

Kumaran berkata penerimaan orang ramai terhadap GST kini tidak lagi menjadi isu kerana rakyat sudah mulai memahami manfaat menggantikan SST dengan sistem percukaian yang baharu.

 

“GST adalah sistem (cukai) menyeluruh yang menumpukan kepada penggunaan,” katanya.

 

Beliau turut merujuk kempen promosi dan publisiti mengenai GST yang dilakukan Jabatan Penerangan dan Jabatan Hal Ehwal Khas di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang berjaya mencatat sambutan positif daripada orang ramai.

 

Kumaran berkata dari sekarang sehingga 31 Mac, publisiti berkaitan GST akan tertumpu kepada penyebaran maklumat berhubung Panduan Pembeli dan penjelasan mengenai isu-isu yang timbul berikutan kelembapan ekonomi global.

 

Panduan Pembeli ini, yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, mengandungi senarai 944 barangan dan perkhidmatan dalam bakul barangan Indeks Harga Pengguna, dan harga barangan sebelum dan selepas GST diperkenalkan.

 

Kumaran berkata kerajaan akan menyebarkan maklumat pasca-GST kepada orang ramai dalam tempoh 18 bulan, bermula 1 April.

 

Lebih faham mengenai GST

 

Sementara itu, suri rumah Goh Chin Mei, 52, dari Tapah, Perak, berkata iklan mengenai GST, yang kerap ditontonnya di televisyen, membolehkan beliau lebih memahami dengan lebih baik mengenai cukai kepenggunaan berkenaan dan bagaimana ia akan memberi manfaat kepada orang ramai.

 

“Pada mulanya, saya adalah antara individu yang menentang GST… tetapi setelah hari demi hari berlalu saya menyedari bahawa cukai baharu ini sebenarnya akan memberi faedah kepada kami, dan harga berkemungkinan turun lebih rendah.

 

“Topik-topik yang dibincangkan dalam iklan berkenaan (GST) juga menggalakkan saya untuk melakukan lebih banyak penyelidikan dalam talian untuk mendapatkan maklumat lanjut dan membandingkan GST dengan sistem cukai semasa,” katanya.

 

Rusnita Abu Bakar, 32, pemilik kedai cenderahati, berkata beliau gembira “dihujani” dengan iklan mengenai GST apabila menonton televisyen di rumah atau melihat paparan papan iklan di luar kerana ia merangsang perasaan ingin tahu mengenai cukai baharu berkenaan.

 

“Apabila saya mendapat gambaran lebih jelas, saya menjadi lebih yakin mengenai GST,” katanya.

 

Menerusi SST, orang ramai secara amnya tidak sedar bahawa mereka telah membayar Cukai Jualan antara lima dan 10 peratus kerana ia tidak dinyatakan dalam jualan penerimaan barangan yang dibeli, lantaran itu memberikan gambaran kepada pengguna bahawa mereka tidak membayar apa-apa cukai.

 

Ini mungkin menjelaskan mengapa ramai orang menentang GST apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaannya ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat pada Oktober 2013.

 

Jurutera kanan S. Lukesh Pillai, 26, bagaimanapun, berpendapat kerajaan boleh meningkatkan kempen pengiklanan sedia ada dengan menyediakan fakta dan angka tentang bagaimana wang yang dipungut di bawah GST akan digunakan untuk pembangunan.

 

“Rakyat perlu diberitahu mengenai peningkatan hasil kerajaan dan sama ada atau ia akan digunakan atau tidak untuk membina rumah mampu milik untuk rakyat yang tergolong dalam kategori berpendapatan rendah serta penyediaan infrastruktur yang lebih baik,” katanya.

 

Beliau berkata bahawa jika orang ramai mempunyai akses kepada maklumat seumpamanya dengan mudah, tidak akan ada sebarang penentangan terhadap pelaksanaan GST.- Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.