Isu Pilihan Raya PBT: Ustaz Haron Din Beri Peringatan Kepada DAP

Negara boleh ditimpa padah sekiranya DAP terus berdegil untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) walaupun dibantah keras oleh Pas yang juga sekutunya dalam pakatan pembangkang.

 

Malah, kepemimpinan ulama di dalam Pas yakin kebimbangan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tentang kemungkinan pilihan raya PBT mengakibatkan peristiwa 13 Mei 1969 berulang, ada asasnya.

 

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berpandangan, pelaksanaan pilihan raya PBT tidak menyumbang ke arah usaha mewujudkan keharmonian politik di negara ini.

 

“Sebarang isu yang boleh menimbulkan ketidaktenteraman akan mengundang padah.
“Kalau tidak segera, maka masa mendatang akan lebih mencabar kerana itulah isu pilihan raya PBT ini elok dihentikan segera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Kelmarin, Abdul Hadi mendakwa, pilihan raya PBT yang diperjuangkan DAP akan hanya mencetuskan suasana tidak stabil dan melebarkan jurang masyarakat apabila memberi ‘keuntungan’ kepada penduduk bandar yang majoritinya kaum Cina, sekali gus menimbulkan kebimbangan peristiwa 13 Mei 1969 mungkin berulang.

 

Polemik pilihan raya PBT yang mencetuskan konflik dalam pakatan pembangkang dibangkitkan oleh Pas setelah DAP membantah hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hudud.

 

Haron turut mengingatkan DAP bahawa pandangan Abdul Hadi itu bukan bersifat peribadi kerana pelaksanaan pilihan raya PBT tidak dipersetujui oleh semua ahli Pas.

 

Beliau menambah, semua pihak termasuk DAP sepatutnya bersikap prihatin sebelum melakukan sebarang tindakan yang melibatkan kepentingan umum, khususnya dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.

 

“Lebih-lebih lagi apabila ditegur atau ditentang oleh rakan-rakan dalam pakatan pembangkang, maka sepatutnya diberi pertimbangan,” ujarnya.

 

Tokoh ulama berpengaruh dalam Pas itu juga meminta DAP tidak menyamakan isu pilihan raya PBT dengan isu hudud kerana ke­dua-duanya langsung tidak mempunyai kaitan.

 

“Hudud adalah teras perjuangan parti dan kerana itulah Pas diwujudkan sedangkan pilihan raya PBT ini apa bendanya, bukan perjuangan parti dan bukan teras DAP,” tegasnya.

 

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam kenyataan melalui laman Facebooknya menempelak sikap dwistandard DAP terhadap isu pilihan raya PBT dan hudud.

 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mempersoalkan tindakan DAP menuduh Pas mencabul kesepakatan dalam pakatan pembangkang berikutan hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian tentang hudud di Dewan Rakyat.

 

“Cuma, adakah pilihan raya PBT tidak perlu ke Parlimen sebagaimana hudud? Itu saya tak pasti, kena rujuk kepada orang undang-undang.

 

“Jika Pulau Pinang berjaya mengadakan pilihan raya PBT, adakah Pas akan menganggap langkah itu mencabul pakatan pembangkang? Jawapannya tidak,” jelasnya.

 

Sehubungan itu, Nik Mohamad Abduh memberitahu, DAP seharusnya bertindak secara demokratik dan menerima hasrat Pas untuk melaksanakan hudud di Kelantan. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.