Godam: MAS Jamin Data Peribadi Penumpang Selamat

SHAH ALAM – Susulan laman web digodam pagi tadi, syarikat penerbangan Malaysian Airlines (MAS) memberi jaminan insiden itu tidak akan memberi kesan negatif terhadap tempahan tiket yang dilakukan pelanggannya.

 

MAS dalam satu kenyataan ringkas berkata, data peribadi pelanggan tidak terdedah dan berada dalam keadaan selamat ekoran kejadian itu.

 

Kenyataan itu turut menyatakan, ‘server’ laman web MAS masih beroperasi dan syarikat penerbangan itu telah menangani masalah tersebut dengan syarikat pembekal servis dan sistem dijangka akan dibaik pulih dalam masa 22 jam.

 

Laman web MAS pagi tadi digodam kumpulan menggelarkan diri mereka Cyber Caliphate (Khalifah Siber) yang memberi gambaran seolah-olah mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS).

 

Cubaan untuk mengakses laman web MAS membawa pengguna ke halaman berlatar belakang hitam dengan tulisan merah ‘404 – Plane Not Found’ (pesawat tidak ditemui).

 

Kebiasaannya, laman web yang tidak dapat diakses akibat tiada liputan internet akan mengeluarkan nota berbunyi ‘404 – Page not found’ (halaman tidak ditemui).

 

Tulisan pada bahagian ‘tab’ laman web MAS itu pula tertulis ‘ISIS will prevail’ atau IS akan kekal. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.