Fareeda Buka Cawangan Di Putrajaya

SYARIKAT pengeluar tudung eksklusif, Fareeda Global Resources Sdn Bhd menerusi jenama Fareeda apabila membuka cawangan baharu di pusat membeli-belah Alamanda, Putrajaya, semalam.

 

Pengarahnya, Mawar Abdul Karim berkata, pembukaan itu merupakan cawangan ketujuh dan pertama di pusat membeli-belah di negara ini.

 

Menurutnya, Alamanda dipilih kerana ia sering dikunjungi oleh mereka yang berkeluarga pada hujung minggu dan memudahkan orang ramai untuk mengunjungi butik tudung tersebut.

 

“Kami mempunyai ramai pelanggan dari Putrajaya dan kebanyakan mereka bekerja di sini.

 

“Dalam penyelidikan kami, kami mendapati kebanyakan mereka akan membeli tudung Fareeda di Bangi kerana ia merupakan kawasan yang paling hampir dengan tempat tinggal mereka,” katanya ketika ditemui di Majlis Pembukaan Butik Fareeda di Alamanda, Putrajaya, semalam.

 

Mawar memberitahu, sebelum pembukaan setiap butik, Fareeda akan melihat dahulu sejauh mana sambutan pelanggan di kawasan yang dipilih.

 

Beliau berkata, sempena pembukaan cawangan baharu itu, Fareeda memperkenalkan dua koleksi dengan corak baharu iaitu Nour Aisya dan Nour Mariya.

 

“Kedua-dua koleksi ini adalah ilham daripada ibu saya, Faridah Zakaria.

 

“Koleksi ini menggunakan chiffon dari Korea dan tidak mempunyai ‘awning’,” katanya.

 

Mawar memberitahu, Nour Aisya dan Nour Mariya mudah untuk di bawa ke mana-mana sahaja.

 

“Sebelum ini, Fareeda menawarkan lapan koleksi dengan corak baharu yang terhad antaranya Nour Sara Printed, Nour Sofea dan Aisya,” katanya.

 

Jelasnya, Fareeda merancang membuka beberapa lagi cawangan baharu iaitu di Ipoh, Perak dan Johor menjelang akhir tahun ini.

 

“Fareeda juga bakal menembusi pasaran Brunei pertengahan tahun ini. Kami menerima sambutan memberangsangkan daripada pelanggan di Brunei.

 

“Di peringkat permulaan, kami akan membuka booth terlebih dahulu sebelum membuka butik di sana,” katanya.

 

Tambahnya, tudung Fareeda juga mempunyai pelanggan dari luar negara luar antaranya United Kingdom yang akan membeli setiap kali pulang ke Malaysia.

 

Sempena majlis tersebut, Fareeda mengadakan pertunjukkan rekaan tudung dan pembeli berpeluang menikmati harga pengenalan bagi koleksi tudung Fareeda bermula RM120 sehingga RM200 sehelai selagi stok masih ada.

 

Pembeli menunggu di butik tersebut seawal jam 2 petang sehari sebelum pembukaan butik tersebut untuk mengambil nombor. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.