ARC Beri Penarafan ‘A’ Kepada Malaysia

KUALA LUMPUR: ARC Ratings SA (ARC), agensi penarafan global, menetapkan penarafan ‘A’ ke atas kerajaan Malaysia sebagai penerbit mata wang asing jangka panjang.

 

Agensi itu juga menetapkan penarafan penerbit mata wang tempatan jangka panjang ‘A+’ ke atas Malaysia.

 

“Penarafan Malaysia itu membawa unjuran stabil dan mengambil kira jangkaan kami bahawa lebihan akaun semasa luaran akan meluas dalam tempoh sederhana dan metrik hutang akan meningkat.

 

“Unjuran stabil itu juga mencerminkan unjuran kami bahawa ekonomi akan kurang bergantung kepada eksport minyak dan mengekalkan daya saing, dan pada masa yang sama merealisasikan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita,” katanya dalam satu kenyataan.

 

ARC berkata pemacu utama penarafan itu menyokong penarafan mata wang asing ‘A’ Malaysia berdasarkan kedudukan luar Malaysia yang kukuh dengan sejarah lebihan akaun semasa dan hutang mata wang asing yang rendah.

 

“Malaysia mempunyai asas ekonomi yang semakin pelbagai yang mencatat pertumbuhan memberangsang dan membolehkan negara melonjak kepada status pendapatan sederhana tinggi.

 

“Mengukuhkan daya saing akan membantu Malaysia kembali kepada pertumbuhan dipacu eksport yang lebih cergas walaupun kos domestik semakin meningkat,” katanya.

 

Kenyataan ARC menyebut bahawa pelan untuk mengurangkan defisit fiskal dan hutang adalah konstruktif kepada penarafan.

 

Penarafan negara ARC ke atas Malaysia juga mencerminkan bahawa keputusan kerajaan untuk merealisasikan penyepaduan fiskal tidak akan ketara walaupun ekonomi berhadapan cabaran kitaran makro. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.