Jurutera Malaysia Masih Ditahan Di Dubai

Jurutera sivil warga Malaysia Richard Lau yang ditahan di Dubai April lepas kerana disyaki mencuri wang gaji masih ditahan untuk siasatan lanjut, menurut jurucakap Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai.

“Pihak konsulat sentiasa berkomunikasi dengan keluarganya serta peguam untuk mendapatkan perkembangan terkini kes itu,” katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan, Lau, 41, telah dihantar bertugas ke Ras Al Khaimah, terletak paling jauh di utara Emiriah Arab Bersatu (UAE), oleh syarikat pengangkutan marin Malaysia yang berpangkalan di Miri sebagai penyelaras projek di syarikat subsidiarinya di sana lima tahun lepas.

Menurut laporan itu, beliau ditahan pada 28 April susulan aduan dibuat oleh seorang warga UAE, yang merupakan rakan kongsi syarikat subsidiari itu, mendakwa beliau mencuri wang gaji.

Aduan itu merujuk kepada sejumlah wang dibayar kepada Lau, yang sebenarnya adalah gajinya bagi menjalankan tugasnya seperti diarahkan oleh syarikat induk.

Sementara itu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata pihaknya memantau rapi kes berkaitan Lau itu.

“Kementerian ini dan konsul jeneral di Dubai akan terus memantau perkembangan kes itu, di samping memastikan kebajikan Lau sentiasa terjaga serta memberi bantuan konsular yang diperlukan,” kata kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, perkara tersebut akan dilakukan sejajar dengan peraturan yang ditetapkan Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsular 1963, sambil menghormati undang-undang dan proses negara tuan rumah.

“’Kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa diberi keutamaan,” jelas kenyataan itu.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.