Pelakon Star Wars Alami Serangan Jantung

 

LOS ANGELES – Pelakon filem epik Star Wars, Carrie Fisher bertarung nyawa kelmarin selepas mengalami serangan jantung ketika hampir mendarat dalam satu penerbangan dari London.

 

Aktres berusia 60 itu dikatakan mengalami serangan jantung ketika pesawat hampir mendarat ke Los Angeles sebelum diberikan bantuan pernafasan oleh pasukan bantuan kecemasan di dalam pesawat.

 

Fisher pengsan selama 15 minit sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles kira-kira pukul 8 malam waktu tempatan dan dikejarkan ke Pusat Perubatan UCLA di sini.

 

Adik kepada Fisher, Tood memaklumkan kepada Hollywood Reporter bahawa kakaknya telah dikeluarkan dari bahagian kecemasan tetapi menafikan berada dalam keadaan stabil.

 

Laporan majalah Variety menyatakan Tood mengesahkan Fisher telah dikeluarkan dari bilik kecemasan untuk dipindahkan ke Unit Penjagaan Rapi sambil menambah dia telah menerima rawatan terbaik.

 

“Dia merupakan seorang yang tabah dan telah berdepan dengan pelbagai cabaran. Saya berharap semua peminat mendoakan kesihatannya pulih,” ujar Tood.

 

Laman web hiburan, TMZ memetik kenyataan seorang saksi yang mengatakan mata aktres tersebut tertutup rapat dan tidak sedarkan diri ketika dibawa keluar dari pesawat. Pasukan paramedik dikatakan berusaha menyedarkan Fisher selama 15 minit sebelum mendapat semula denyutan jantungnya.

 

Fisher dikenali menerusi watak Princess Leia di dalam tiga filem Star Wars yang menjadi fenomena di seluruh dunia sejak disiarkan bermula tahun 1977 hingga 1983. – AFP/Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.