Sinar FM Biadap, Kata Raja Azura

KUALA LUMPUR — Susah payahnya sebagai penyampai radio selama sedekad tidak dihargai apabila menerima notis tiga minggu sebelum ditamatkan kontrak, kata Raja Azura.

 

Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 43, berkata notis singkat itu “biadap” kerana pengorbanannya menghibur pendengar sebagai penyampai Sinar FM perlu juga diambil kira.

 

“Notis yang saya terima tiga minggu sebelum tarikh kontrak tamat. Bukan setahun atau dua tahun, saya dan dua rakan lagi sudah 10 tahun berkhidmat dengan stesen radio ini.

 

“Bagi saya tindakan itu sangat biadap. Saya bercakap secara umum, bukan sahaja kepada stesen radio tetapi juga syarikat lain yang menjadi majikan kepada pekerja.

 

“Setiap pekerja ada komitmen dan tanggungjawab masing-masing. Sebagai contoh, saya ibu tunggal yang perlu membesarkan anak.

 

“Bagaimana pula dengan mereka yang tiada sumber mata pencarian lain?” katanya kepada akhbar Harian Metro kelmarin.

 

Pelakon dan pengacara itu berganding bersama pelawak Salih Yaacob dan Khairil Rashid dalam segmen Sinar Pagi di stesen radio itu dari jam 6 hingga 10 pagi setiap Isnin hingga Jumaat.

 

Segmen itu kini diambil alih oleh kumpulan lawak Sepahtu, manakala Salih ditukarkan ke segmen petang di stesen radio sama.

 

Khairil, seorang penyampai berpengalaman, kini menumpukan tenaganya di sebuah syarikat iklan radio.

 

Azura, atau biasa dipanggil Kak Engku, mendakwa pendengar-pendengar Sinar FM juga nyata terkilan dengan pertukaran itu.

 

“Paling sukar adalah apabila terpaksa melepaskan pendengar setiap segmen yang saya kendalikan.

 

“Ramai meluahkan perasaan mereka di laman sosial saya. Kata mereka, selepas ketiadaan saya dan dua lagi rakan, mereka tidak lagi terhibur seperti dahulu,” beliau dilaporkan berkata. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.