Lesen Peniaga Tipu Pelanggan Akan Dibatalkan

PASIR MAS – Pemilik kedai telefon bimbit yang dikesan menipu pelanggan akan disenarai hitam dan lesen perniagaan mereka bakal dibatalkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, langkah itu merupakan salah satu penambahbaikan yang akan diambil bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan.

 

“Pihak kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan penipuan atau mengambil kesempatan terhadap pembeli sebagaimana dalam beberapa kes yang dilaporkan baru-baru ini.

 

“Dalam masa sama, pengguna juga diminta memainkan peranan untuk melaporkan kes penipuan,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan di sini semalam.

 

Yang turut hadir, Pengarah PPDNKK negeri, Datuk Abdul Ghani Haron.

 

Baru-baru ini, beberapa kes penipuan berkaitan urusan jual beli alat telekomunikasi di Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur heboh diperkatakan sehingga menjadi viral di laman sosial.

 

Mengulas lanjut, Alias memberitahu, pihaknya juga akan bekerjasama dengan syarikat pengeluar telefon dalam usaha membanteras penipuan.

 

Katanya, jika terlibat dengan penipuan, pihaknya mahu syarikat pengeluar telefon membatalkan kontrak atau menyenaraihitamkan peniaga daripada terus terlibat dengan perniagaan menjual alat telekomunikasi.

 

“Saya akui penguatkuasaan yang dijalankan oleh kita berdepan sedikit cabaran kerana peniaga mempunyai modus operandi mereka tersendiri seperti meletakkan contoh model telefon tidak tulen. Jika mahu lihat yang tulen, pembeli kena tunggu.

 

“Kita akan kaji menerusi skop undang-undang, adakah tindakan meletakkan contoh model telefon tidak tulen dibenarkan atau tidak,” katanya sambil memberitahu isu tersebut akan dibincangkan secara mendalam di peringkat kementerian. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.