Hayati Sunnah Nabi Muhammad SAW – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak umat Islam terus menghayati serta melaksanakan amalan dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

 

Menurut Najib, ajaran Islam sebenar Rasulullah SAW adalah ajaran untuk membentuk umat bersederhana, ‘Ummatan Wasatan’, berkualiti, mulia, cemerlang, tidak ekstrem dan adil.

 

“Alhamdulillah kita dapat sama-sama sambut kelahiran junjungan besar kita Muhammad SAW semalam. Moga kita sentiasa hayati dan amalkan peninggalan Baginda,” katanya dalam laman Facebook dan Twitternya.

 

Najib turut mengingatkan umat Islam supaya bersama-sama berusaha menjadi ‘Ummatan Wasatan’ dengan berpegang teguh kepada sirah serta menghayati dan mengamalkan peninggalan dan keperibadian Baginda Rasulullah SAW.

 

Semalam, sambutan Maulidur Rasul kali kedua tahun ini disambut dengan semangat kesatuan dalam kalangan umat Islam selaras dengan tema tahun ini ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’.

 

Sambutan diadakan di seluruh negara termasuk peringkat nasional yang pertama kali diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang dengan dipenuhi acara bagi memperingati jasa dan perjuangan Rasulullah SAW. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.