VIDEO: Batal Konsert, Ku Nan Cadangkan Kos RM3 Juta Disalur Pada Mangsa Banjir

Kuala Lumpur – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan konsert ‘Ambang 2015 AmBank’ di Dataran Putrajaya dibatalkan.

Jelasnya, beliau akan berbincang dengan pihak Ambank, kerana konsert itu ditaja oleh mereka dan bukan ditanggung Perbadanan Putrajaya atau Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Saya akan berbincang dengan pihak Ambank, sebaik sahaja pengerusinya pulang daripada mengerjakan umrah, wang yang hendak dibelanjakan sebanyak RM3 juta, kalau boleh disalurkan untuk bantuan banjir.

“Jangan salah anggap kementerian atau perbadanan hendak habiskan duit RM3 juta,” katanya dalam sidang media di lobi ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pembatalan itu hanya membabitkan konsert, manakala program lain berjalan seperti biasa.

“Tapi program yang kita adakan di Masjid Putra akan terus dilaksanakan, iaitu selawat untuk mendoakan negara kita ini selamat daripada segala bencana.

“Begitu juga program ‘Selawat Cinta Rasul’ di Dataran Merdeka, kita akan teruskan program ini,” katanya.

Selain itu, Tengku Adnan turut memaklumkan, DBKL telah bersedia menghantar peralatan-peralatan yang ada, bagi membantu kawasan-kawasan yang dilanda banjir.

Jelasnya, seramai 100 anggota penyelamat dan pembersihan disediakan, selain klinik bergerak, pelbagai jenis lori, seperti lori tangki air, pengangkutan pembersihan sampah, termasuklah mesin penembak air berkuasa tinggi, jentolak dan mesin ‘fogging’.

Tambahnya, DBKL juga akan membuka kaunter khusus, bagi memudahkan mereka yang mahu menderma kepada mangsa banjir.

“Mulai Isnin, kita akan buka kaunter di lobi Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya dan di lobi ibu pejabat DBKL di Kuala Lumpur.

“Sumbangan ini akan dikumpulkan, sebelum diagih-agihkan kepada mangsa banjir,” ujarnya.

Menurut Tengku Adnan lagi Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan khas sebanyak RM50 juta bagi membantu negeri-negeri yang yang terlibat dengan bencana banjir selain mengarahkannya agar mengerah semua jentera UMNO untuk turut membantu mangsa banjir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.