Usaha Bantu Mangsa Banjir Akan Ditingkatkan – Najib

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempertingkatkan lagi usaha menghantar bantuan banjir terutamanya kawasan yang terjejas teruk dan berisiko tinggi.

Dalam kenyataan beliau hari ini, satu perbincangan bersama Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, Tan Sri Muhyidin Yassin dijalankan bagi memastikan usaha menghantar bantuan makanan berjalan dengan lancar.

Menurutnya, keadaan paras air yang sangat tinggi dan arus deras yang memberbahaya menyukarkan kenderaan dan bot menghantar bekalan makanan ke kawasan yang berisiko tinggi.

“Saya maklum dengan masalah pemindahan mangsa banjir dan penghantaran bekalan kerana keadaan yang merbahaya sekarang.

“Saya diberitahu usaha penghantaran menggunakan helikopter terganggu berikutan cuaca buruk dan menyukarkan penerbangan dilakukan.

“Helikopter yang membawa bekalan makanan dan peralatan juga tidak dapat mendarat di beberapa kawasan kerana lokasi yang tidak sesuai berhampiran pusat pemindahan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin dengan pasukan penyelamat yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan anggota sukarelawan sedang bertungkus lumus memberikan bantuan yang terbaik.

Menurutnya, pasukan penyelamat akan berusaha memberikan bantuan yang terbaik serta mencari ikhtiar untuk sampai ke pusat pemindahan bagi menyalurkan bantuan.

“Kerajaan akan memastikan segala usaha dilakukan bagi membantu mangsa banjir yang dianggap mencabar tahun ini,” katanya.

Seramai lebih 90,000 mangsa banjir di Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Perlis masih ditempatkan di pusat pemindahan berikutan banjir yang semakin buruk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.