TNB Ambil Langkah Hentikan 1,266 Pencawang Elektrik Elak Berlaku Litar Pintas

Kuala Lumpur – Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menghentikan sementara operasi 1,266 pencawang elektrik (PE) di beberapa kawasan di Pahang, Kelantan dan Terengganu susulan kejadian banjir.

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata langkah itu diambil bagi mengelak berlakunya litar pintas dan ia membabitkan 63,221 pengguna.

Kelantan mempunyai pengguna paling banyak terjejas iaitu 42,625 dengan penutupan operasi 810 PE di Kuala Krai, Gua Musang, Jeli, Machang, Tanah Merah, Kota Baharu dan Tumpat.

“Di Terengganu, operasi 138 PE dihentikan di Kemaman, Bandar Al-Muktafi Billah Shah dan Dungun, melibatkan 8,105 pengguna manakala di Pahang, 5,878 pengguna terjejas berikutan penutupan operasi 18 PE,” katanya dalam kenyataan Khamis.

Beliau berkata TNB akan terus memantau pepasangan seperti pencawang elektrik di beberapa kawasan terjejas banjir dan menutup bekalan elektrik sekiranya air mencecah paras bahaya.

Mohd Aminuddin berkata bilik gerakan TNB di setiap negeri juga beroperasi untuk memantau situasi dan orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 untuk maklumat lanjut. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.