Selangor Tetap Akan Adakan Sambutan Tahun Baru – Azmin

Ulu Kelang – Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali menyatakan kerajaan negeri tetap akan meneruskan rancangan sambutan Tahun Baru 2015 peringkat negeri pada tahun ini dalam skala sederhana bagi mengormati mangsa banjir di pantai timur

Beliau turut memberi jaminan bahawa sambutan yang akan diadakan pada 31 Disember ini tidak akan mewah dan membazirkan wang rakyat berbanding amalan lama yang mementingkan unsur hiburan.

“Ya, sambutan kita biasanya cukup sederhana. Tidak mewah dan tidak membazir. Kita lihat kepada pengisian program itu,” katanya kepada pemberita pada Program Gunting Rambut Percuma dan Sumbangan Peralatan Sekolah di sini hari ini.

Setakat ini Perak telah mengumumkan bahawa sambutan Tahun Baru 2015 di negeri itu dibatalkan sebagai menghormati mangsa banjir, selain terdapat desakan awam supaya tiada sambutan diadakan di seluruh negara.

Azmin menjelaskan, sambutan yang dianjurkan itu akan menekankan pengisian yang mempunyai mesej dan berbentuk kebudayaan seperti Merakyatkan Ekonomi Selangor, pameran seni, lukisan dan karya sastera.

“Ia ada mesej tertentu untuk mendidik rakyat bahawa sambutan tahun baru ini mesti diisi dengan semangat untuk bekerja dengan lebih kuat dan memberi tumpuan kepada pembangunan yang holistik,” katanya.

Mengulas mengenai bantuan mangsa banjir di Kelantan, Azmin berkata, beliau akan mengumumkan sejumlah wang daripada kerajaan negeri esok sebagai tanda simpati kepada keluarga dan mangsa banjir di Kelantan.

Bernama melaporkan hari ini, keadaan banjir tidak menampakkan tanda-tanda reda sehingga menyaksikan 90,250 penduduk di Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Perlis terpaksa berpindah, jumlah yang amat besar dalam sejarah bencana banjir di negara ini.

Kelantan mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi melibatkan 32,343 orang, diikuti Terengganu (28,991), Pahang (24,316), Perak (4,335) dan Perlis (265).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.