Runtuhan Konkrit LRT : Mayat Buruh Binaan Warga Bangladesh Ditemui

Subang Jaya – Mayat seorang pekerja binaan warga Bangladesh yang terperangkap dalam insiden runtuhan konkrit cair di stesen LRT Putra Height ditemui kira-kira jam 10.24 malam Rabu.

Menurut Bomba Selangor dua lagi pekerja dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan runtuhan tersebut.

Terdahulu dilaporkan, tiga mangsa dipercayai terperangkap dalam runtuhan konkrit cair bagi binaan lantai di tapak projek pembinaan laluan sambungan LRT Ampang di Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights, Subang Jaya.

Kejadian berlaku pada jam 4.29 petang  tadi dan proses mencari mangsa-mangsa tersebut masih lagi dijalankan oleh pihak bomba.

Penyelia Operasi, Pegawai Bomba Kanan 2, Piei Rahim memberitahu bahawa kejadian dipercayai berpunca dari keberatan konkrit.

“Sebanyak tiga jentera bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian. Setakat ini proses mencari mangsa yang terperangkap masih dijalankan. Buat masa ini, bomba sedang berusaha mengorek besi bagi mencari mangsa.

“Melalui maklumat yang diperolehi, kemungkinan mangsa-mangsa berkenaan adalah warga asing. Bomba dari tiga balai iaitu Shah Alam, Subang dan Puchong serta ambulan dan polis telah berkejar ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima laporan.

“Punca kejadian masih lagi disiasat, berkemungkinan disebabkan oleh keberatan konkrit” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan berkata empat pekerja lain cedera dalam kejadian yang berlaku ketika kerja meratakan konkrit dilakukan di bahagian binaan setinggi lapan meter.

Mereka yang cedera segera diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital berdekatan, kata kenyataan itu.

Katanya usaha sedang giat dilakukan Pasukan Respons Kecemasan, Polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menyelamatkan dua pekerja Bangladesh dan seorang pekerja Indonesia yang terperangkap itu.

Pengarah Kumpulan Bahagian Pembangunan Projek Prasarana Datuk Zohari Sulaiman, yang berada di tempat kejadian, menyuarakan kekesalan tentang perkara yang berlaku, manakala punca kemalangan sedang disiasat memandangkan perancah berkenaan direka bentuk seorang jurutera profesional dan disahkan selamat oleh pemeriksa perancah.

Sementara itu, Mass Rapid Transit (MRT) Corporation dalam kenyataannya menafikan kejadian itu mempunyai kaitan dengan Projek MRT Lembah Klang seperti yang dilaporkan media sosial.

“KVMRT tidak melalui Subang Jaya. Harapan dan doa kami mengiringi mangsa kejadian, yang dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan konkrit,” kata kenyataan itu. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.