ONE Kecewa, Lagu Mereka Tidak Diputarkan Stesen Radio

Kuala Lumpur – Anggota kumpulan hip hop popular, One Nation Emcee (ONE) meluahkan rasa kecewa dan persoalan apabila lagu mereka tidak diputarkan stesen radio kerajaan sedangkan diundang membuat persembahan di beberapa program anjuran stesen berkenaan.

Vokalis utama, Mimi berkata, pihak stesen tersebut memberi alasan lagu mereka tidak diputarkan atas faktor penggunaan bahasa rojak.

“Kami kecewa apabila lagu di gam dengan alasan kami gunakan bahasa rojak tetapi jika membuat persembahan, mereka boleh pula panggil kami.

“Bukan kami tidak bersyukur tetapi sebagai sebuah kumpulan yang bergerak sendiri, kami mahu juga dikenali dan mendengar maklum balas pelbagai peringkat masyarakat dan medium.

“Kami akui sukar untuk pastikan lagu kami dimainkan di corong radio tetapi jika tiada sokongan daripada pihak sebegini, macam mana kami mahu terus berkarya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Single Terbaru ONE berjudul Hoi Ya Hoi di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Popular menerusi lagu Kuda Hitam, Raja Gelek dan Anak Kampung, ONE pernah muncul menerusi persembahan Anugerah Tribute P.Ramlee anjuran stesen berkenaan, pada tahun lalu selain acara anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sekitar 2009.

“Sewaktu program anjuran JKKN, itu kali pertama pihak stesen tersebut mengenali kami. Sewaktu itu kami diundang membuat persembahan lagu seperti Goyang Inul dan Kuda Hitam. Ada juga kami diundang membuat persembahan di beberapa program lain anjuran mereka,” katanya.

Selain Mimi, kumpulan yang pernah menjuarai program realiti GangStarz pada tahun 2008 ini turut dianggotai Jojoe dan Zaidi.

Berkongsi lanjut mengenai Hoi Ya Hoi, Mimi menyatakan lagu berkenaan diinspirasikan menerusi filem Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee berjudul Ali Baba Bujang Lapok tetapi lirik dan susunan lagu menceritakan perihal sebenar kehidupan zaman sekarang.

“Lirik menerusi bait liriknya memberikan motivasi kepada golongan pekerja untuk mengubah kehidupan lebih baik.

“Selain itu, idea untuk klip video adalah cetusan kami bertiga tetapi saya buat pertama kali bertindak sebagai pengarah,” katanya.

Sementara itu, ONE sedang menantikan persetujuan penyanyi rap popular yang juga dan komposer, Malique untuk projek kolaborasi yang dirancang sejak setahun lalu.

“Tahun lalu kami sudah pun berjumpa dengan dengan pihak Karma Music Production iaitu isteri Malique sendiri, Melissa, menyatakan hasrat mahu berkolaborasi dengan Malique.

“Apa yang menggembirakan kami, Malique memberi respon dan dia juga menyatakan minat untuk bekerjasama. Sementara menunggunya, kami teruskan kerja lain seperti tampil dengan single terbaru dan mengadakan persembahan,” katanya.

-mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.