Limpahan Air Empangan Kenyir Terkawal, Akan Kembali Normal – TNB

Kuala Terengganu – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelaskan limpahan air di Empangan Kenyir adalah terkawal dan akan kembali normal dalam masa terdekat.

Pengurus Kanan Stesen Janakuasa Kenyir, Azani Mohd Yusof, berkata setakat hari ini paras air di empangan itu mencecah 146.9 meter melebihi paras maksimum 145 meter, sekali gus menyebabkan limpahan.

Beliau berkata, limpahan air empangan itu secara automatik akan mengalir masuk ke Sungai Terengganu.

“Kita mahu memberi penjelasan bahawa Empangan Kenyir tidak memiliki pintu sebaliknya air akan mengalir keluar selepas melebihi paras maksimum 145 meter.

“Justeru, kita juga mahu menafikan khabar angin yang tersebar mengatakan pihak TNB melepaskan air empangan sehingga menyebabkan banjir juga tidak benar sama sekali.

“Malah, air yang mengalir keluar itu juga tidak memberi kesan kepada penduduk setempat sebaliknya ia terus masuk ke Sungai Terengganu,” katanya pada sidang media bencana banjir negeri di pejabat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, hari ini.

Azani berkata, limpahan air di empangan itu sudah berlaku sembilan kali, namun tahun ini paling teruk selepas kali pertama berlaku pada tahun 1986.

Katanya, mengikut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Terengganu di Jambatan Kuala Berang mencatatkan 9.48 meter berbanding paras bahaya 13.07 meter.

“Melihat paras air sungai ini, ia tidak membimbangkan. Bagaimanapun, kita sentiasa memantau empangan itu secara 24 jam.

“Justeru, kita meminta pihak terbabit berhenti menyebarkan maklumat yang tidak betul berhubung Empangan Kenyir kerana ia boleh menyebabkan orang ramai terutama penduduk setempat panik,” katanya. – Berita Harian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.