Kementerian Kewangan Akan Permudahkan Pembelian Keperluan, Sampaikan Kepada Mangsa – Husni

Kuala Lumpur – Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM50 juta untuk negeri dilanda banjir.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, peruntukan itu akan diagih dan disalurkan segera kepada Pejabat Pembangunan Negeri di negeri terjejas berikutan banjir yang semakin meruncing.

“Kementerian Kewangan juga akan mempermudah pembelian segera keperluan peralatan bantuan dalam memastikan bantuan dapat disampaikan kepada rakyat di kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Husni berharap peruntukan segera serta kemudahan pembelian peralatan bantuan itu dapat membantu meringankan beban yang dihadapi rakyat di negeri berkenaan.

“Kementerian Kewangan akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mempermudah usaha bantuan kepada rakyat,” katanya.

Keadaan banjir tidak menampakkan tanda-tanda reda sehingga menyaksikan 90,250 penduduk di Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Perlis terpaksa berpindah, jumlah yang amat besar dalam sejarah bencana banjir di negara ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.