Keluarga Bob Marley Izin Terbitkan Semula Sempena Memperingati 30 Tahun Kematiannya

Kuala Lumpur – Sudah lebih tiga dekad selepas kematiannya, namun Bob Marley sedia untuk mencipta sejarah sekali lagi.

Sebagai memperingati pemergian dan legasinya, keluarga ikon reggae itu mahu mengingati ulang tahun kelahirannya ke-70 pada 2015 dengan acara menghargai muziknya sepanjang tahun.

Menurut portal hiburan Rolling Stones, keluarga Marley memberikan keizinan kepada Universal Music Group untuk meneliti kesemua karya muzik dalam arkib khas mendiang yang tidak pernah diterbitkan sebelum ini untuk tujuan penerbitan semula, penghasilan video dan pembikinan album rakaman langsung baharu.

Projek pertama adalah cakera padat dan cakera video digital (CD/DVD) konsert Easy Skanking di Boston yang tidak pernah dikeluarkan sebelum ini. Ia dijangka berada di pasaran pada 10 Februari 2015.

Persembahan Bob Marley dalam konsert tersebut dirakam menggunakan kamera oleh seorang peminatnya. Sebagai satu-satunya kamera yang digunakan, jurukameranya terpaksa menukar gulungan pita filem sewaktu persembahan berlangsung.

Menurut Rolling Stones, meskipun audio albumliveitu lengkap, sela masa antara rakaman tersebut akan diisi dengan video animasi yang dihasil dan diarahkan oleh S77 dan Matt Reed, yang sebelum ini pernah menghasilkan video muzik Pearl Jam, Red Hot Chili Peppers dan Cee Lo Green.

Rakaman konsert Easy Skanking yang bertarikh 8 Jun 1978 itu berlangung di Boston Music Hall ketika ikon reggae itu dalam siri jelajah bagi album Kaya. Persembahan itu turut memuatkan beberapa lagu malar segar seperti “No Woman, No Cry,” “I Shot the Sheriff” dan  “Get Up, Stand Up.”

Sepanjang tahun 2015, Universal juga bercadang untuk mengumumkan lebih banyak koleksi dan edisi khas LP Bob Marley yang paling popular, dengan material bonus yang belum pernah diperdengarkan.

Walaupun Bob Marley sudah tiada selama 34 tahun, namanya kekal sebagai salah seorang daripada tokoh penting dalam budaya muzik dan legasinya bakal dihidupkan semula. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.