Bomba Perluaskan Operasi Cari Pasangan Jatuh Dari Bot Penyelamat

Kuala Terengganu – Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu (JBPNT) akan memperluaskan operasi pencarian sepasang suami isteri membabitkan sungai dan laut.

Penolong Pengarah (Operasi) negeri, Khairul Arifin Che Ramli, berkata seramai 15 anggota termasuk lima unit penyelam bersama tiga bot giat menjalankan operasi sejak semalam.

Beliau berkata, setakat ini mereka hanya melakukan pemantauan di lokasi kejadian dan sungai berhampiran.

“Anggota unit penyelam belum dapat turun berikutan arus deras yang menyukarkan untuk misi pencarian. Buat masa sekarang kita memantau di sekitar sungai dulu.

“Sekiranya pencarian di lokasi berhampiran dan sungai menemui kegagalan, kita akan perluaskan operasi ke kawasan laut. Kita percayai kemungkinan juga mangsa dibawa arus deras ke laut,” katanya pada sidang media bencana banjir di pejabat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof dan Pemangku Setiausaha MKN Terengganu, Roslina Ngah.

Khairul berkata, pihaknya juga sudah mendapatkan bantuan unit udara bomba yang berpangkalan di Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Bertam, Pulau Pinang.

Semalam, sepasang suami isteri hilang selepas bot penyelamat yang mereka naiki terbalik ketika operasi pemindahan mangsa banjir di Kampung Geliga Che Akob, Kemaman.

Dalam kejadian pada jam 1.18 petang, Nur Hayati Sulong, 37, dan suaminya, Suhaimi Awang, 37, bersama tiga lagi mangsa dan tiga anggota penyelamat.

Mengulas lanjut Khairul berkata, bot yang dinaiki terperangkap dalam putaran air menyebabkan terbalik dan tiga mangsa diselamatkan, manakala pasangan suami isteri itu dibawa arus deras.

“Ketika kejadian, semua mangsa memakai jaket keselamatan. Kita menepis dakwaan yang tersebar di laman sosial mengatakan mangsa tidak memakai jaket keselamatan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.