10 Tahun Berlalu Tsunami, 26 Disember Menjadi Ketakutan Seluruh Isi Dunia

Kuala Lumpur – Selepas 10 tahun bencana tsunami paling dahsyat membawa kemusnahan merentas Lautan Hindi, sikap sambil lewa dikhuatiri akan melemahkan fungsi sistem amaran berteknologi tinggi yang dicipta untuk mengelakkan bencana besar seumpamanya.

Pada pagi 26 Disember 2004, gempa bumi dengan ukuran 9.3 magnitud yang menggegarkan perairan sebelah Barat Indonesia menghasilkan siri gelombang besar yang mengorbankan lebih daripada 220,000 orang di 14 buah negara termasuk Sri Lanka dan Somalia.

Antara yang menjadi mangsa ialah ribuan pelancong asing, dengan kebanyakannya sedang menikmati percutian Krismas di pantai tropika di barat daya Thailand, sekali gus menyebarkan ketakutan ke seluruh isi rumah di seluruh dunia.

Tiada sistem amaran dibunyikan dan tidak cukup masa bagi orang ramai untuk berkejar ke kawasan tanah tinggi ketika ombak raksasa membadai kawasan pesisiran pantai. Sebelum itu, ramai yang hanya terpinga-pinga melihat paras air laut yang menyusut jauh dari pantai sebelum kemudiannya kembali dalam gelombang besar yang memusnahkan.

Sempena ulang tahun ke-10 bencana tersebut, pakar memberi amaran bahawa ingatan umum terhadapnya semakin pudar, seiring dengan pudarnya kesediaan orang ramai untuk menghadapinya.

“Bila anda lupa, anda tidak bersedia. Anda bersantai, dan itu bahaya. Salah satu cabaran besar dalam mengurangkan risiko bencana adalah untuk memastikan orang menyedarinya.

“Ini digelar sebagai amnesia bencana,” kata ketua Pejabat Pengurangan Risiko Bencana, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) , Margareta Wahlstroem.

Kehilangan arah

Selepas gempa terjadi, ombak pertama datang dalam masa 20 minit. Ada ombak yang setinggi 35 meter membadai pantai Aceh hingga mengorbankan 170,000 orang di Indonesia.

Dua jam berikutnya, tsunami tersebut terbelah ke Thailand, India dan Sri Lanka.

“Kami kehilangan arah tanpa sebarang sistem pengesan di Lautan Hindi,” kata pengarah Pusat Amaran Tsunami Pasifik, Charles McCreery.

Menurutnya, selepas ‘100 tahun yang tenang’ telah berlaku enam kejadian gempa dengan ukuran 7.9 magnitud ke atas di Lautan Hindi sejak 2004.

Untuk mengelakkan perkara yang sama berulang, Sistem Amaran Tsunami Lautan Hindi dibangunkan dan beroperasi pada tahun 2011. Fungsinya yang merentasi lautan dan dipantau hab-hab di Indonesia, Australia dan India.

Rangkaian tersebut yang terdiri daripada tolok pengukur ombak, pelampung laut dalam dan pemantau seismik digunakan untuk memberi amaran kepada negara-negara seluruh rantau akan kemungkinan tsunami.

Sejumlah 24 negara sekitar Lautan Hindi juga telah mempunyai pusat-pusat amaran kebangsaan masing-masing.

Thailand yang menyaksikan seramai 5,395 terkorban akibat bencana itu dengan separuh daripadanya ialah pelancong, kini menjalankan hab pemantau 24 jam yang terhubung pada satelit  ke 129 menara kawalan di enam wilayah yang cenderung dilanda tsunami.

Gelombang besar akan mengaktifkan penggera dan pengumuman dalam pelbagai bahasa dibuat melalui menara-menara pemantau. Hab pemantau itu juga akan menghantar peringatan melalui SMS untuk mengingatkan tentang evakuasi.

Namun di pantai Patong di Phuket, Thailand, menara pemantauan dilihat sudah dalam keadaan usang  di sepanjang hamparan pantai yang dipenuhi para pelibur.

Sementara itu di kawasan resort pesisiran pantai Khao Lak, papan tanda yang membimbing orang ramai untuk berlari ke kawasan yang lebih tinggi dilihat sudah luntur.

Pada masa yang sama, populasi di kawasan pesisiran pantai tersebut yang dijana aktiviti percutian dan pelancongan semakin padat.

Sains dan pendidikan

Sistem amaran awal adalah suatu langkah besar ke depan namun tidak memadai sekiranya ia ditinggalkan, kata Prof. Kerry Sieh dari Nanyang Technological University, Singapura.

“Ia perlu wujud bersama pendidikan dan infrastruktur yang mencukupi,” ujarnya yang menekankan tentang kepentingan langkah-langkah lain seperti pelebaran jalan keluar sewaktu perpindahan atau evakuasi.

Jepun telah melabur dalam pembinaan sistem amaran dan kempen kesedaran tsunami yang terbaik. Ia telah diuji pada 2011 apabila  gempa bumi telah mencetuskan tsunami yang mengorbankan 18,000 mangsa.

Menurut Sieh, persediaan pihak Jepun itu adalah berbaloi, kerana tanpanya angka korban mungkin lebih ramai.

Sistem di Lautan Hindi yang baharu disifatkan sebagai sebuah kejayaan dua tahun lalu ketika negara-negara berisiko telah menerima amaran kemungkinan tsunami dalam masa 12 minit titik gempa dikesan di perairan Sumatera.

Tiada tsunami berlaku, namun amaran berupa sistem pesanan ringkas, penggera dan latihan evakuasi di Aceh dan Thailand berjalan dengan lancar.

Kempen pendidikan di sekolah telah membantu dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak sekolah namun golongan dewasa pula dilihat sedikit mengeluh dan mengelak apabila diminta untuk mengajar generasi seterusnya,” kata  jurucakap agensi bencana Aceh, Muhammad Dirhamsyah.

Namun begitu, bagi Mathias Mann yang meletakkan bunga di pusara temannya yang terkorban akibat tsunami di daerah Phang Nga, Thailand, berkata bahawa adalah penting untuk mengingatinya.

“Saya berpendapat adalah sangat penting untuk mengingati apa yang berlaku — atas alasan keselamatan,” katanya. “Kebanyakan orang mahu melupakannya. Saya faham. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.