VIDEO: Penduduk Saran Lebih Kerap Adakan Kempen Kitar Semula Untuk Didik Masyarakat Lebih Berdisiplin

Oleh: Shuhaniza Said

KUALA LUMPUR – Tidak dinafikan, sememangnya ramai yang mengetahui dan pernah mendengar mengenai kitar semula. Sungguhpun begitu, tidak semua yang benar-benar melaksanakannya.

Memetik kata-kata Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan, Haji Ismail Mohammed, berdasarkan satu kajian terhadap 55,000 responden, kira-kira 98 peratus daripadanya mempunyai pengetahuan mengenai amalan kitar semula atau 3R (Reduce, Reuse, Recycle), namun yang benar-benar melaksanakannya hanya 50 peratus.

Justeru itu, SWCorp mengambil inisiatif dengan mengadakan program turun padang sempena mempromosikan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2018 (HKSK2018) yang akan diadakan di Pantai Eco Park pada 1 Disember ini.

Program turun padang itu menyasarkan komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Lembah Pantai bagi mempromosikan dan mengajak orang ramai hadir ke sambutan berkenaan.

Nyata, kempen itu mendapat sambutan yang baik daripada penduduk PPR dan mengalu-alukan inisiatif sedemikian bagi memberikan lebih pemahaman kepada komuniti mengenai pentingnya membudayakan amalan 3R.

Bagi seorang suri rumah Zaharah, 45, yang menghuni PPR Sri Cempaka, beliau berpendapat usaha sedemikian wajar diadakan dengan lebih kerap khususnya di komuniti PPR yang lazimnya mempunyai penghuni yang ramai.

“Kepentingan kitar semula ini salah satunya kita boleh menjana kehidupan kita sendiri menerusi pendapatan sampingan. Memang penting untuk kita kitar semula, untuk kita ajar anak-anak bagaimana kita nak kumpul barangan plastik, buku atau botol. Kita kena ajar mereka dari kecil.

“Alhamdulillah kita sambut dengan gembira kempen ini. Kita boleh perbaiki lagi, sama-sama berkumpul. Kalau boleh kempen ini dilakukan dengan kerap, sama ada setiap minggu atau setiap bulan. Kalau buat sekali saja nanti orang akan lupa…kalau buat kerap, minda masing-masing akan terbuka untuk mendidik. Kadang kita yang dewasa pun terlupa,” katanya kepada SuaraTv.

Bagi Mohamad Saleh, 74, beliau turut melontarkan pandangan yang senada sambil mengesyorkan agar kempen bukan sahaja diadakan melalui sambutan tahunan, sebaliknya program seperti ceramah perlu diadakan dengan lebih kerap bagi memupuk kesedaran dan sikap disiplin penghuni PPR khususnya, dan orang awam amnya.

“Kempen ini eloklah kalau semua orang faham untuk membersihkan persekitaran, keduanya boleh tahu supaya barang-barang yang boleh dikitar semula ini tak terbuang sia-sia dan persekitaran kita tak kotor. Kalau dikitar semula, bagus lah.

“Kita ini rumah flat, maknanya penduduknya ramai jadi memang banyak benda terbuang. Kalau boleh memang kerap berkempen setidak-tidaknya bermula dari kanak-kanak. Jadi kalau adanya pihak tertentu berkempen dan kesedaran, atau sebulan sekali beri ceramah di setiap kawasan. Walau kita bersekolah dan berpelajaran tinggi, tapi kalau disiplin diri tak ada, tak boleh lah,” katanya.

Sementara itu Haji Ali, 69, mencadangkan agar pihak berwajib menyediakan lebih banyak tong atau penempatan kitar semula di setiap komuniti PPR bagi memudahkan penghuni melaksanakan 3R.

“Sebagusnya kawasan ini disediakan tempat untuk memudahkan kita kitar semula. Tempat untuk tin, untuk kertas, untuk botol, untuk besi… nanti Alam Flora boleh ambil.

“Baguslah ada kempen seperti ini, saya sokong untuk kebaikan penduduk sini dan sekitar penduduk Lembah Pantai. Kalau boleh saya akan uar-uarkan kepada rakan-rakan supaya ramai-ramai datang ke Pantai Eco Park untuk memeriahkan program kitar semula,” katanya.

HKSK2018 dianjurkan oleh SWCorp bermatlamatkan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan amalan 3R dalam menerapkan minda kelas pertama kepada masyarakat dalam menjadikan amalan 3R sebagai budaya dan amalan harian.

Pelbagai acara menarik yang disusun untuk menggalakkan penyertaan orang ramai dalam program ini antaranya acara senamrobik dan HKSK Fun Walk & Plogging.

Selain itu, sebanyak 20 booth pameran disediakan melibatkan agensi kerajaan, agensi swasta, NGO, IPT dan Sekolah Industri; pameran ‘sculpture’; bengkel ‘upcycling’, dan ‘open mic’.

HKSK2018 turut akan diserikan dengan cabutan bertuah,’food truck’, jualan ‘car boot’, penampilan maskot Didi&Friends dan persembahan nyanyian daripada Reuz Band.

Ia akan dirasmikan oleh Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin -SuaraTv

Kredit gambar: SWCorp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.