Ustazah Norazizan & Dua Anak Lelaki Masih Gagal Dikesan

KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita bersama dua anak lelakinya berusia tujuh dan tiga tahun dilaporkan hilang dari rumah mereka di Semenyih, Kajang, sejak Isnin lalu.

Kali terakhir Norazizan Ibrahim, 31, berhubung dengan keluarganya adalah pada Ahad, menerusi pesanan di aplikasi WhatsApp dan kemudian gagal untuk dihubungi sejak jam 11 pagi Isnin.

Adiknya, Noraziah Ibrahim, 29, berkata abang iparnya iaitu suami kepada kakaknya turut menghilangkan diri.

Katanya, kehilangan itu mula disedari selepas dihubungi oleh seorang guru dari sekolah kakaknya.

“Guru itu beritahu kakak saya tidak hadir mengajar dan bertanya jika dia berada bersama saya, saya kemudian cuba menghubunginya namun telefon bimbitnya ditutup.

“Saya cuba mencarinya di rumah namun gagal malah kereta Perodua Myvi milik kakak saya juga tidak kelihatan, bimbangkan keselamatannya saya terus buat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noraziah berkata, polis memintanya terus cuba menghubungi kakaknya dan jika masih gagal selepas tiga hari, polis memintanya membuat laporan kedua.

“Selepas tiga hari, kakak saya masih gagal dikesan, saya buat laporan polis, kemudian keluarga ada terima maklumat kereta kakak saya dikesan di Raub selepas kereta itu disaman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana pemandunya, seorang lelaki tidak dikenali tidak memiliki lesen.

“Maklumat itu menambahkan kerisauan kami sekeluarga, siapakah lelaki itu, di manakah kakak dan anak saudara saya, keluarga memohon jika ada yang tahu di mana kakak saya boleh hubungi saya di nombor 013-363 1189,” katanya.

Semalam, NSTP melaporkan kehilangan seorang guru wanita bersama dua anak lelakinya selepas perkara itu mula tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, yang dihubungi kemudian, mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan tiga beranak itu.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang dan siasatan masih berjalan. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.