Lebih 100 Ahli Amanah Di Melaka Isytihar Keluar Parti

ALOR GAJAH – Lebih 100 ahli termasuk Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) cawangan Kampung Paya Rumput Hilir, Tangga Batu, Melaka hari ini mengisytiharkan keluar parti ekoran krisis dalaman melibatkan jawatan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Bekas Pengerusi Amanah Cawangan Kampung Paya Rumput Hilir, Jalalludin Mulot berkata, keputusan itu dibuat selepas kesemua mereka tidak lagi yakin dengan jaminan diberikan oleh kepimpinan tertinggi negeri apabila terdapat campur tangan pihak lain dalam pemilihan jawatan berkenaan.

Ujarnya, pada Oktober lalu, beliau telah diberi mandat untuk menggalas jawatan Pengerusi MPKK bagi menyelesaikan kemelut dalaman perebutan jawatan ahli jawatankuasa MPKK yang telah lama berlaku sesama ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun setelah krisis itu diselesaikan, beliau tiba-tiba diberitahu pihak penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor bahawa Pengerusi MPKK baharu telah dilantik menerusi campur tangan pihak luar.

“Dalam negara kita yang dikatakan ‘Malaysia Baharu’, tidak mahu ada pemimpin yang begini, yang kita kena angguk, kita kena ikut kehendak dia. Dia langgar kawasan siapa untuk menentukan, membina empayar dia. Tak boleh.. Itu style lama.

“Kita tak boleh terima cara ni. Jadi saya mengisytiharkan, biarlah saya berundur keluar dari parti daripada menjadi ‘pak turut’, dan memenuhkan nafsu serakah pemimpin yang sebegini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kampung Paya Rumput Jaya Hilir hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan mengejut yang turut mendapat persetujuan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari itu amat mengecewakan ahli parti berkenaan kerana ia dilakukan atas dasar mengikut kehendak pihak luar berkenaan yang memegang jawatan selaku exco kanan kerajaan negeri.

Ujarnya, secara peribadi, beliau hormat exco kanan berkenaan, namun campur tangan itu disifatkan biadab.

Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika mengulas ringkas isu berkenaan berkata, beliau belum menerima sebarang maklumat berkaitan dengannya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.