‘Bersabar… Mereka Masih Takut’ Pinta Tun Dr. Mahathir Mohammad

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad meminta pegawai kanan kerajaan bersabar dengan sikap menteri, timbalan menteri dan pegawai lantikan politik yang dilihat tidak sependapat dengan mereka dalam cara kerajaan baharu ditadbir.

Kata Mahathir yang dipetik dari Berita Harian, ini kerana menteri, timbalan menteri dan pegawai terbabit masih baharu serta tidak mempunyai pengalaman bagaimana negara ditadbir kecuali dirinya yang sudah mempunyai pengalaman mentadbir negara ini.

Malah, Mahathir meminta pegawai kanan kerajaan turut membantu menteri, timbalan menteri dan pegawai lantikan politik untuk membuat sebarang keputusan mengenai sesuatu perkara.

“Saya minta pegawai kerajaan sabar dan bertolenrasi dengan mereka. Cuba terangkan langkah terbaik dalam membuat sebarang keputusan.

“Kecuali saya yang mempunyai sedikit pengalaman menjadi Perdana Menteri sebelum ini, lain-lain menteri dan timbalan menteri masih baharu,” kata Mahathir.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, ada menteri dan timbalan menteri takut berhadapan dengan pegawai kanan kerajaan terutamanya mereka yang mempunyai pengalaman luas.

“Menteri sebenarnya takut jumpa pegawai kerajaan yang berpengalaman, malah ada (menteri) lari tidak mahu jumpa media.

“Tetapi yang hendak buat kerja ini pegawai kerajaan, kita hanya beri arahan. Saya selesa dengan kebanyakan pegawai senior ketika ini kerana dahulu mereka adalah pegawai junior saya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, bertanya ketika sesi dialog Majlis Perjumpaan Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan malam tadi, mengenai campur tangan pegawai lantikan politik tertentu yang enggan mematuhi peraturan sebenar proses pentadbiran menyebabkan pihaknya terpaksa campur tangan. – Suara.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.