Tabiat Suka Simpan Barang Satu Penyakit?

KUALA LUMPUR — “Jangan buang, sayang nak buang, barang ni elok lagi, nak simpan adalah gunanya nanti.”

Sikap yang terlalu sayang untuk membuang barang yang mungkin sudah tidak perlu atau lebih teruk, sudah rosak ini dan boleh dipanggil “sampah”memang lazim kita dengar.

Mungkin juga kita sendiri melakukannya tanpa kita sedar!

Rakan penulis pernah berkongsi kisah neneknya yang gemar menyimpan barang terutama barang lama, maklumlah orang tua biasanya memang ‘terlebih sayang’ barang mereka dan sering melihatnya sebagai sesuatu yang ada nilai ‘sentimental’, lapor Bernama.

Ketika membantu neneknya mengemas rumah, niat beliau terbantut disebabkan sikap neneknya yang ‘itu sayang, ini sayang, diringkaskan semua sayang’! 

“Semuanya sayang, semuanya tak boleh buang, habis tu macam mana? Rumah dah bersepah, barang dah banyak, sikit lagi nak jalan dalam rumah sendiri pun tak boleh,” rungutnya kepada saya. 

Peti ais lama, kipas angin rosak, kerusi patah, sofa dan katil buruk, besen atau loyang yang sudah bocor, bekas minyak masak, botol air mineral, kain baju yang tidak lagi digunakan malah bunga telur yang diperoleh dari kenduri kahwin pun antara yang menjadi ‘koleksi barang simpanan’ neneknya.

Rancak dia bercerita, terdetik di hati penulis “oh, lebih kurang nenek aku juga sebenarnya”.

Saya tersenyum lantas berkongsi cerita mengenai nenek di kampung yang juga gemar menyimpan barang tetapi kemudian akan menjalankan ‘DIY projects’ (do-it-yourself) ke atas  barang berkenaan untuk ditransformasi menjadi pasu bunga, bangku duduk atau bekas siram pokok bunga.

Memang kagum bila melihat nenek saya yang berusia 78 tahun itu, ada sahaja ‘projeknya’ memang tidak boleh duduk diam! 

Cuma kadang-kadang jika anak cucu pulang ke kampung dan melihat ada yang ‘terlebih simpan’, kami diam-diam berpakat membuangnya atau melenyapkannya dengan cara membakar tanpa pengetahuan nenek. 

Secara tidak langsung, rumah masih dalam keadaan bersih, tersusun dan tidak bersepah. Pendek kata, situasi yang kami hadapi masih terkawal.

Baru-baru ini tular dalam media cetak dan elektronik isu rumah bersepah, dipenuhi timbunan barang, sampah serta dalam keadaan tidak terurus dan kotor.

Kisah pertama melibatkan seorang wanita warga emas dikhabarkan sudah 17 tahun hidup dalam keadaan rumah yang sangat tidak terurus! 

Wanita itu juga dikatakan menghidapi masalah kesihatan sekaligus membataskan pergerakannya untuk mengurus kediaman.

Kes kedua melibatkan sebuah keluarga seramai 11 orang tetapi keadaan rumah sangatlah tidak terurus, kotor dan dipenuhi sampah. Alasan yang diberi tiadanya kesepakatan antara anggota keluarga mengakibatkan kediaman itu menjadi sebegitu rupa. 

Pelbagai reaksi yang diberikan orang ramai khususnya golongan netizen. 

Ada yang meluahkan rasa simpati, tidak kurang juga yang mengutuk dan mengecam dengan menuduh mereka sebagai pemalas sehingga sanggup tinggal dalam sampah sarap!

Menurut Pakar Psikiatri Dr. Mohd Faiz Md Tahir, kes yang dibangkitkan kemungkinan besar boleh dikaitkan dengan keadaan psikiatri yang dikenali sebagai ‘hoarding disorder’. 

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kampus Kuantan menjelaskan ‘hoarding disorder’ adalah suatu keadaan psikiatri yang membuatkan seseorang individu mempunyai keinginan tinggi untuk mengumpul pelbagai jenis barang dalam kuantiti melampau dan lazimnya mereka sukar untuk membuangnya dengan rela hati.

“Barang yang dikumpul atau sukar untuk dibuang itu jelas tidak mempunyai kegunaan praktikal malah berkemungkinan besar tidak membawa apa-apa keuntungan daripada sudut nilai ekonomi. 

“Pergantungan melampau terhadap barang-barang itu mungkin kerana percaya akan ada kegunaan untuk barang itu pada masa hadapan meskipun hakikatnya memang langsung tidak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Penghidap ‘hoarding disorder’ biasanya akan mengundang masalah sebagai contoh kehilangan ruang asas yang sepatutnya digunakan untuk aktiviti harian mahupun pekerjaan.

Ia juga secara tidak langsung dikhuatiri akan membahayakan keselamatan diri sendiri dan orang lain selain aspek kesihatan apabila terguna barang yang sudah tidak elok atau sudah tamat tarikh luput.

“Keadaan ini juga tidak terkecuali akan menjejaskan hubungan peribadi, sosial dan di tempat kerja. Contohnya pasangan akan berasa tidak senang tinggal dengan individu tidak normal yang suka hidup dalam timbunan barang-barang dan ‘menyemakkan’ pemandangan manakala jiran tetangga pula akan berasa terganggu dan melabel golongan berkenaan sebagai pemalas dan tidak tahu mengemas rumah,” katanya.

Dr. Mohd Faiz  pada masa sama turut berkata terdapat perbezaan antara pengumpul (collector) barangan tertentu dengan ‘hoarder’.

“Perlu diingat bahawa penghidap ‘hoarding disorder’ ini tidak sama dengan hobi mengumpul barang kerana ‘collector’ mengumpul  barang tertentu sahaja seperti koleksi patung watak superhero, komik zaman kanak-kanak, ‘mug’, ‘fridge magnet’ dan koleksi pinggan mangkuk bukan semua barang secara melampau lebih-lebih  lagi yang langsung tidak mempunyai nilai.

“Collector juga lazimnya akan menyimpan dan menyusun barangan mereka dengan kemas dan baik di samping berkongsi dengan orang lain yang kagum dengan koleksi yang mereka ada.  Berbeza dengan ‘hoarders’ mereka mengumpul pelbagai jenis barang secara tidak teratur, semborono, bahkan barang yang dikumpul itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan sama sekali,” katanya.

​​​​​​​Berkongsi bahawa ramai sebenarnya yang tidak menyedari mereka menghidap masalah berkenaan, beliau berkata tidak kurang juga ramai yang malu untuk bertemu pakar bagi mendapatkan rawatan. 

Petugas kesihatan mental boleh menjalankan proses saringan kesihatan bagi mengesan gejala berkenaan dengan kebenaran individu itu sendiri atau dengan menemubual ahli keluarga atau rakan terdekat.

Selain itu, borang soal selidik juga digunakan bagi mengenalpasti tahap keseriusan gejala yang dihidapi individu terlibat.

“Rawatan yang diberikan untuk individu yang disahkan menghidapi ‘hoarding disorder’ termasuk psikoterapi serta ubat-ubatan. Terapi kognitif dan tingkah laku didapati berkesan untuk sesetengah pesakit manakala ubat-ubatan diberi berdasarkan tahap keseriusan gejala yang dialami.

“Bukanlah sesuatu yang luar biasa jika individu yang didiagnos dengan ‘hoarding disorder’ ini mengalami gejala mental atau psikologi yang lain seperti kegelisahan, kemurungan dan masalah yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah atau alkohol,” katanya sambil menambah individu terlibat dinasihat mendapatkan rawatan psikologi atau psikiatri bagi memulih atau mengurangkan gejala berkenaan. 

Ditanya mengenai tips seperti kaedah bersedekah kepada orang lain serta mungkin menetapkan tempoh masa tertentu bagi seseorang untuk menyimpan barang dan kemudian membuangnya bagi mengelak gejala berkenaan, beliau berkata ia sebenarnya adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan oleh ‘hoarders’.

“Ia bukanlah semudah menasihati atau memberikan tips kepada mereka. Ini kerana ciri ‘hoarding disorders’ itu biasanya tidak disedari oleh penghidapnya atau dalam situasi lain malu untuk tampil bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Berkongsi pendapat, seorang sukarelawan yang aktif dalam program yang dikenali sebagai ‘Free Market’  Mohd Fadly Daud, 39, berkata inisiatif yang dijalankan kumpulannya sejak 2014 itu secara tidak langsung mungkin boleh membantu individu yang mempunyai ahli keluarga atau rakan yang menghidap gejala berkenaan. 

Dengan tagline ‘beri dan ambil apa sahaja’, ‘Free Market’ bertujuan menggalakkan orang ramai untuk memberi atau bersedekah apa sahaja barang kepunyaan mereka kepada orang ramai terutama golongan memerlukan. 

“Saya rasa ini mungkin antara usaha yang boleh dilakukan bagi ‘memujuk’ golongan yang suka simpan barang.

“Jika kita sekadar cakap ‘bagi orang’ mereka mungkin rasa sayang, tetapi melalui pendekatan beramal, bersedekah dan mendapat pahala, mana tahu mungkin berkesan,” katanya. 

Turut mengulas mengenai penglibatan beberapa sukarelawan dalam misi membersihkan kediaman yang tular berkenaan, beliau berkata menjadi tanggungjawab seluruh masyarakat untuk saling membantu antara satu sama lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.