Serangan Di Masjid, Presiden Ikrar Buru Dalang `Pengganas’

Presiden Mesir, Abdul Fattah al-Sisi berikrar untuk memburu dalang yang mengakibatkan 235 orang terbunuh dalam serangan bom di masjid al- Rawda di utara Sinai, ketika jemaah sedang bersolat Jumaat.

Berikutan itu juga, tentera Mesir telah melancarkan serangan udara di kawasan sasaran `pengganas’ terbabit. Bagaimanapun sehingga kini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab.

“Apa yang berlaku adalah usaha untuk menghalang kami daripada menghentikan usaha menyekat pengganas. Pasukan tentera dan polis akan memburu mereka dan mengembalikan semula kestabilan serta keselamatan dengan tindakan ketenteraan,” kata Abdul Fatah dalam ucapannya menerusi televisyen.

Semalam, sebutir bom diletupkan di kawasan masjid yang penuh sesak dengan orang ramai yang hadir menunaikan solat Jumaat dan ketika mereka yang terselamat cuba untuk menyelamatkan diri, sekumpulan lelaki dipercayai anggota kumpulan pengganas melepaskan tembakan secara melulu kepada orang ramai.

Ia mengorbankan 235 orang manakala 100 orang dilaporkan cedera.

Penyerang juga dilaporkan membakar kenderaan dan meletakkannya di depan laluan masuk ke masjid itu bagi menghalang jemaah keluar dari masjid itu. Mereka juga melepaskan tembakan apabila ambulans cuba membantu mangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.