Heboh Seminar ‘Cara Kilat Dapat Istri 4’ Dipertikai Di Media Sosial

RISALAH seminar ‘Cara Kilat Dapat Istri 4’ telah tersebar dan menjadi pertikaian di media sosial.

Seminar tersebut, yang dirancang diadakan pada 3 Disember ini membolehkan para peserta mengambil bahagian dalam sesi taaruf (perkenalan) yang mungkin membawa kepada perkahwinan jika kedua-dua pihak (lelaki dan perempuan) bersetuju.

Menurut Portal Mstar, Penganjur acara itu mengenakan bayaran RM1,066 untuk peserta lelaki yang membuat tempahan awal atau RM1,523 pada hari seminar, sementara peserta wanita yang belum berkahwin boleh memasuki seminar secara percuma.

Selain itu, risalah tersebut turut memaklumkan bahawa penceramah seminar terdiri daripada lelaki yang mengamalkan poligami dari seluruh Indonesia.

Ketika timbul pertikaian bahawa seminar ini berkemungkinan besar menyamai usaha-usaha perniagaan berasaskan poligami baru-baru ini yang kontroversi di Indonesia, penganjur acara, Dauroh Poligami Indonesia, mengesahkan penganjurannya dan ia akan berlangsung di Jakarta, tetapi tidak menyatakan lokasi khusus.

“Benar. Kami mahu mengadakan acara pendidikan tentang poligami untuk umat Islam,” kata Pengarah Eksekutif Dauroh Poligami Indonesia, Viktor Abu Syamil, memetik Detik, Jumaat.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) mempersoalkan niat di sebalik penganjuran seminar dan memberi amaran kepada kaum lelaki untuk tidak mengambil bahagian kerana ia hanya kelihatan seperti penipuan.

“Walaupun (poligami) tidak dilarang dalam Islam, (seminar itu) memaparkan imej bahawa Islam hanya sekadar nafsu,” kata Timbalan Pengerusi MUI Zainut Tauhid Sa’adi, memetik laporan Detik Khamis.

“Tujuan acara itu mesti dipersoalkan. Adakah ia benar-benar membantu orang ramai membina isi rumah atau hanya untuk keseronokan, atau adakah ia satu cara untuk membuat keuntungan dengan mengambil kesempatan daripada keperluan orang lain untuk mencari pasangan lebih dari satu?.”

Suruhanjaya Kebangsaan mengenai Keganasan Terhadap Wanita (Komnas Perempuan) juga mempunyai penilaian serupa terhadap seminar itu.

“Saya fikir ini adalah agenda perniagaan, memperdagangkan wanita tetapi ‘menutupnya’ dengan seminar. Agama dijadikan alat untuk memenuhi kehendak seseorang dengan cara perkawinan,” kata Pesuruhjaya Komnas Perempuan Masruchah, sebagaimana dikutip oleh Detik, Khamis.

Pada September, kerajaan menyekat sebuah laman web cari jodoh yang menimbulkan kontroversi, Nikahsirri.com, yang menawarkan ‘lelongan dara’ untuk lelaki dan wanita yang mahu berkahwin, sementara polis menahan pengasasnya atas unsur-unsur pornografi dan eksploitasi anak-anak bawah umur yang ditemui di laman web ini.

Pada masa yang hampir sama aplikasi ala-Tinder untuk poligami yang dipanggil AyoPoligami menimbulkan kontroversi dan kritikan banyak pihak, tetapi aplikasi itu kekal dalam talian sehingga hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.