20 Tahun Pun Belum Tentu Bangkit Kata Bakri

Bekas tonggak kebangsaan, Bakri Ibni apabila mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang percaya falsafah dan prestasi baharu permainan bola sepak negara termasuk kualiti pasukan kebangsaan dan liga bola sepak tempatan akan dapat disaksikan dalam tempoh 10 tahun lagi, lapor Sinar Harian.

“LAWAN Thailand pun kita susah nak menang. Jadi usah berharap kita (skuad kebangsaan) mampu bangkit cipta banyak kejayaan, apatah lagi ke (layak) Piala Dunia… 20 tahun lagi pun belum tentu.” demikian pandangan jujurnya.

Bakri, 65, yang mempunyai kelayakan kejurulatihan dari England dan Jerman, di samping lesen A di Malaysia berkata, kebangkitan skuad kebangsaan hanya akan dapat disaksikan sekiranya program pembangunan sedia ada berjalan sempurna dari segenap aspek, merangkumi keputusan positif setiap kali perlawanan.

“Kita boleh bangkit 10 tahun lagi, malah paling cepat tujuh tahun akan datang dengan syarat, apa yang FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) buat sekarang ini atau yang sedang dirancang berjalan tanpa cacat cela.

“Tapi kalau program pembangunan saja berjalan lancar dan tiap kali turun game asyik kalah…tak guna juga.

“Kita hanya jadi jaguh kampung…dan kita akan terus ketinggalan jauh daripada Jepun atau Korea, malah dalam kalangan negara Asia Tenggara juga,” katanya.

Pada masa sama, Bakri mengulangi pendiriannya berhubung kelemahan yang terdapat dalam Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

Menurutnya, kelemahan paling ketara adalah melibatkan tenaga pengajar dan jurulatih yang cetek pengalaman, selain tidak menekankan teknik penguasaan bola yang maksimum.

“Nak buat program akar umbi, tapi tenaga pengajarnya kurang arif mengenai teknik bola sepak. Maaf cakap…mereka tiada asas bola.

“Macam mana kita nak lahirkan pemain berkualiti apabila bakat anak muda ini tidak digilap bersungguh-sungguh,” ujarnya.

Sebelum ini, Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim pernah memaklumkan semua program yang terkandung dalam projek pembangunan itu sama seperti yang digunakan bola sepak dunia, termasuk Eropah dan kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

Elemen hantaran bola, serangan, bertahan, mengawal bola dan semua yang ada akan diajar kepada pemain.

Ia berkaitan teknik dan taktikal dalam sistem permainan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.