Zahid Nak Bawa Nazri Ke Sabah

Kual Lumpur – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi memberi jaminan mengenai keselamatan Sabah di bawah pelaksanaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Malah beliau juga akan menjemput Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz tanpa pengawal peribadi ke kawasan ESSCOM.

“Saya merasakan bahawa keadaan sudah bertambah baik dan saya akan menjemput Menteri Pelancongan dan Kebudayaan untuk bersama-sama dengan saya tanpa pengawal peribadi bagi melawat kawasan berkenaan.

“Dengan adanya perintah berkurung, keadaan di kawasan ESSZONE bertambah selamat dan pelancong-pelancong daripada luar terutamanya dari China.

“Saya telah dimaklumkan bahawa mereka semakin ramai datang kerana keyakinan bertambah terhadap kemampuan pihak pentadbiran ESSCOM,” katanya di lobi Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nazri yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Cina dengan menyebut, “Saya tidak akan ke Sabah jika tak ada pengawal peribadi”.

Beliau mengakui keselamatan Sabah terjejas ketika berlakunya insiden penceroboham tentera Sulu sebelum ini dan juga beberapa siri penculikan di kawasan Pantai Timur Sabah.

Namun, keadaan ketika ini semakin baik dan keselamatan kawasan terlibat berada di bawah penguasaan pihak berkuasa.

“Saya bersetuju dengan pendapat Datuk Seri Nazri (Aziz), ketika enam bulan atau setahun yang lalu, tetapi keadaan sudah jauh berbeza sekarang kerana ESSCOM telah diketuai oleh seorang pegawai kanan polis dan selaku Menteri Dalam Negeri saya telah gazetkan untuk jalankan perintah berkurung pada waktu-waktu tertentu,” tambah beliau.

Nazri sebelum ini di dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen juga pernah menyatakan berkenaan keselamatan Sabah.

Menurut beliau, Sabah masih belum boleh diyakini selamat untuk pelancong luar negara selagi kes penculikan di kawasan itu tidak diselesaikan.

Sehingga ke hari ini, dua kes penculikan di kawasan Pantai Timur Sabah masih belum diselesaikan melibatkan penculikan anggota polis bertugas di ESSCOM dan juga pengusaha sangkar ikan dari luar negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.