Warga Guinea Edar Dadah, Dihukum Gantung Sampai Mati

Shah Alam – Seorang peniaga telefon bimbit warga Guinea dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 70 biji kapsul dadah jenis Methamphetamine yang disembunyikan dalam perutnya, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Colin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pembelaan tertuduh, Barry Abdoul, 35, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Lelaki itu didakwa mengedar dadah seberat 678.3 gram di kaunter pemeriksaan Kastam Aras 3, Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang, dan Bilik 27, Wad 6C, Hospital Serdang, antara 12 Mac 2012 hingga 14 Mac 2012.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal sementara tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.