Wanita Harus Peka, Mereka Terdedah Jenayah Kekerasan Fizikal Dan Emosi

Kuala Lumpur – Masih ramai wanita yang tidak peka bahawa mereka terdedah dengan jenayah kekerasan secara fizikal dan emosi.

ACP Ong Chin Lan, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Dan Penderaan (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman berkata, walaupun statistik laporan polis bagi kes jenayah keganasan domestik meningkat, namun dia percaya bahawa masih ramai lagi mangsa yang enggan tampil membuat laporan.

“Peningkatan statistik menunjukkan mereka sedar dan berani untuk tampil dan tahu di mana untuk mendapatkan bantuan.

“Tetapi saya percaya masih ramai lagi wanita terus membiarkan diri mereka dihimpit perasaan takut untuk membuat laporan serta merujuk kepada agensi kerajaan lain untuk memohon nasihat atau bantuan,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post.

Menurut statistik kes keganasan domestik PDRM terdapat peningkatan pada tahun 2011 di mana sebanyak 3,277 kes dilaporkan berbanding 3,173 kes pada tahun 2010.

Tahun 2012 pula mencatatkan sebanyak 3,488 kes dilaporkan yang mana ia menunjukkan peningkatan sebanyak 211 kes.

Kebanyakan mangsa yang terbabit melibatkan mereka yang berumur antara 26 hingga 35 tahun iaitu seramai 5,949 mangsa manakala mangsa berumur antara 36 hingga 45 tahun dicatatkan seramai 3.116 orang.

Ong Chin Lan berkata, keganasan tidak akan wujud secara mendadak namun ia sudah bermula dalam kitaran kehidupan seseorang itu tanpa disedari.

“Keganasan dalam rumahtangga bermula sekiranya berlaku pertengkaran dan suspek telah melakukan salah satu daripada kesalahan-kesalahan yang telah ditafsirkan di bawah Akta Keganasan Rumahtangga 1994.

“Biasanya konflik yang tidak ditangani seperti kecurangan, perselisihan faham, masalah kewangan, masalah anak, cemburu, mabuk, dadah, ugutan adalah tanda-tanda permulaan konflik yang boleh mendedahkan mangsa kepada keganasan domestik.

“ia akan berkait dalam akta ini sama ada dengan sengaja atau tiudak sengaja dilakukan yang mana perbuatan suspek boleh mendatangkan kecederaan, ketakutan, tekanan psikologi berterusan membabitkan fizikal dan emosi,” katanya.

Menurutnya, bagi menangani isu keganasan ini, pelbagai kempen kesedaran dijalankan oleh PDRM selain penubuhan sebuah unit khas yang dikenali sebagai Victim Care Officer (VCO).

“Namun ramai wanita yang hanya mahu berserah kepada takdir. Mereka ini tidak tahu mengenai hak peribadi untuk hidup aman, bahagia dan bebas daripada sebarang tindakan keganasan.

“Selain PDRM banyak agensi kerajaan dan NGO yang turut menyediakan saluran masing-masing untuk membantu wanita mangsa keganasan,” jelasnya.

Katanya, apa yang dikesalkan ialah kebanyakan laporan yang dibuat menunjukkan kes keganasan rumah tangga itu dilakukan secara berulang-ulang.

“Bila sudah ke tahap tidak boleh tahan kerana kerap dibuli, dipukul, dimaki baru wanita terbabit berani buat laporan polis.

“Wanita terlalu banyak fikir dan berkorban untuk anak sehingga sanggup didera fizikal dan emosi sehingga hampir mengancam nyawa sendiri dan menghadapi tekanan emosi melampau,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.