Tidak Berlandaskan Ikhlas Dan Adil 12 ADUN BN Selangor Sepakat Tolak RM200 Ribu

Shah Alam – Kesemua 12 ADUN Barisan Nasional (BN) Selangor sepakat menolak cadangan pemberian peruntukan bernilai RM200,000 setahun kepada mereka kerana menyifatkannya sebagai tidak berlandaskan keikhlasan dan keadilan.
Ketua Pembangkang DUN, Datuk Shamsudin Lias berkata, kesemua mereka bersepakat memutuskan perkara tersebut atas dasar maruah dan prinsip.
“Pada kita, ini satu penghinaan. Kita ini dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Apa bezanya kita dengan mereka? Mereka dapat RM700,000. Kalau atas keadilan, kena bagi sama rata. Ini bukan keikhlasan. Kalau ikhlas, dia bagi RM700,000 kepada semua ADUN,” katanya dalam sidang media kepada pemberita.
Malah, ADUN Sungai Burung itu berkata, kerajaan negeri juga membuktikan ketidakikhlasan apabila melantik penyelaras di kawasan DUN pembangkang termasuk memberikan peruntukan RM500,000 kepada pihak berkenaan, melebihi peruntukan yang diberikan kepada mereka.
“Kalau dah ada wakil rakyat, kenapa diwujudkan penyelaras DUN, dan dibekalkan peruntukan. Mengapa tak bekalkan kepada wakil rakyat? Mereka diberi RM500,000. Mereka lagi banyak peruntukan daripada kita. Apakah layak kedudukan mereka ini. Kita nak berkhidmat kepada rakyat, mereka bukan wakil rakyat,” katanya lagi.
Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali semalam mengumumkan bersetuju memperuntukkan RM200,000 setahun kepada ADUN pembangkang, bagi menjalankan program Mesra Rakyat dan meningkatkan khidmat wakil rakyat di DUN masing-masing.
Selain ADUN pembangkang, peruntukan tersebut turut diberikan kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim.
Azmin bagaimanapun mengumumkan ADUN Pakatan Rakyat turut mendapat peruntukkan yang ditambah iaitu sebanyak RM700,000 setahun.
Shamsuddin turut menyatakan kesediaannya untuk memulangkan kembali kereta rasmi kerajaan negeri yang baru sahaja diterimanya semalam, jika pemberian itu benar-benar tidak ikhlas.
“Saya tak minta (kereta) ini. Ia diputuskan pada masa yang lepas. Jangan diungkit-ungkitlah. Saya nak jelaskan pasal kereta rasmi. Kereta ini diluluskan zaman mantan menteri besar yang lalu. Saya rasa macam tak ikhlas saja. Kalau nak diungkit perkara ini, ambil balik. Saya pun tak perlu itu.
“Ungkit. Apa nak diungkit, kalau nak bagi, bagilah. Nak ambil balik saya tak ada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian setelah ADUN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Kim membangkitkan isu pemberian kereta rasmi itu selepas kesemua 12 ADUN BN menolak peruntukan RM200,000 itu.
“Saya nak tanya ketua pembangkang, kalau peruntukan untuk rakyat dalam kawasan DUN pembangkang ditolak, kenapa kereta rasmi pula diterima?” tanya Teng.
Speaker DUN, Hannah Yeoh dalam sidang medianya berkata tindakan kesemua ADUN BN menolak peruntukan itu sebagai tidak bijak.
“Kalau anda tolak peruntukan, ia bermakna anda ada duit sendiri…berkemungkinanlah. Jadi saya tak tahu sama ada ADUN BN dapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan, saya tak pasti. Ini atas usaha bajet baru untuk memanfaatkan kepada penduduk. Kenapa nak tolak,” ujarnya.
Beliau kemudiannya menasihatkan Shamsuddin agar menerima pemberian kereta rasmi itu dan tidak memanjangkan lagi isu tersebut.
“Ada yang kata ini (pemberian kereta) gimik menteri besar. Ia diberi atas keputusan jawatankuasa pengurusan dewan. Termasuk ADUN Sungai Burung juga. Jawatankuasa itu yang cadangkan kemudahan untuk ketua pembangkang. Kita hantar (cadangan) kepada Mesyuarat Majis Kerajaan Negeri (MMKN) dan diluluskan pada zaman Tan Sri Khalid Ibrahim (lagi).
“Hanya pada kali ini kereta baru sampai. Saya harap kemudahan ini akan digunakan. Tak payah main politik. Yang dapat manfaat adalah rakyat Selangor. Kalau ketua pembangkang aktif, ia akan beri manfaat kepada rakyat Selangor,” ujarnya lagi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.