Pencalonan Ng Swee Lim Sebagai Timbalan Speaker Adalah ‘Silent Protest’ Pada PAS

Shah Alam – ADUN Sekinchan, Ng Swee Lim tidak menolak pencalonannya sebagai calon Timbalan Speaker DUN Selangor adalah ‘silent protest’ terhadap PAS bersabit krisis pelantikan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali.
Azmin sebelum ini memberitahu jawatan timbalan speaker DUN Selangor dikhaskan kepada ADUN PAS sebagai ganti parti itu kehilangan satu kerusi Exco sebelum ini.
Namun apa yang mengejutkan, DAP turut mencalonkan Ng untuk merebut jawatan itu daripada calon PAS, Mohd Shafie Ngah (ADUN Bangi).
“Mungkin ini adalah ‘silent protest’ pada PAS bersabit krisis sebelum ini. Ia boleh jadi juga protes pada Abdul Hadi (Presiden PAS) yang enggan hadir pada mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat,” ujar Ng kepada pemberita selepas sidang DUN Selangor selesai hari ini.
Ng yang dicalonkan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah hanya mendapat 14 undian sementara Shafie yang dicalonkan ADUN Seri Cempaka, Iskandar Samad pula mendapat 28 undi.
DAP dan PAS sebelum berbalas kenyataan bersabit kegagalan Hadi hadir ke mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat.
DAP mengatakan kegagalan Hadi hadir menyukarkan Pakatan Rakyat mendapat kata putus berhubung sesuatu isu.
Namun di pihak Hadi, beliau mempunyai alasan tersendiri untuk tidak hadir pada mesyuarat itu ditambah lagi dengan dirinya yang kerap uzur kebelakangan ini.
Beberapa pemimpin PAS bingkas mempertahankan Hadi dan mengingatkan DAP agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.
Perkembangan terbaru bersabit pencalonan Ng ini dijangka bakal mengeruhkan lagi persefahaman antara PAS dan DAP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.