Konsisten Dalam Perjuangkan Kedaulatan Melayu Dan Perkukuhkan Islam, Teras Jati Diri – ISMA

Kuala Lumpur – Para perwakilan dan kepimpinan UMNO diseru untuk menampilkan sikap dan pemikiran merdeka dalam perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung mulai esok hingga Sabtu ini.

Lapor portal Ismaweb.net, Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata apa yang dinantikan adalah sikap konsisten dalam memperjuangkan kedaulatan bangsa Melayu dan kesungguhan memperkukuhkan kedudukan Islam yang merupakan teras jati diri bangsa dan negara dalam dasar pembangunan negara.

Atas landasan itu, tambah belau, mereka perlu berani membahaskan isu-isu penting berkaitan kenegaraan terutama yang berkaitan identiti negara, perundangan, integrasi nasional, kedudukan ekonomi orang Melayu Islam dan bumiputera agar sentiasa sejajar dengan kehendak siasah syariah dan kepentingan umat Islam, bumiputera serta perpaduan nasional.

“Mereka juga harus mempertegaskan komitmen yang tinggi dalam menjunjung syariat Islam, perundangan dan perlembagaan negara mengatasi kepentingan peribadi dan politik. Untuk itu mereka perlu berani melakukan koreksi diri dan membuat pembetulan dalam amalan politik dan pelaksanaan dasar-dasar negara sejajar dengan kehendak agama, undang-undang dan perlembagaan,” katanya.

Tegas Abdullah, isu-isu tanah rizab Melayu, dasar pendidikan, sekolah vernakular, undang-undang syariah, dasar ekonomi, undang-undang perlembagaan berkaitan hak keistimewaan Melayu dan bumiputera, kuota, dasar ekonomi dan sebagainya perlu dibahas secara merdeka dan bebas tanpa terikat dengan idea-idea lama yang ditinggalkan penjajah dan pentafsiran sekular terhadap perundangan dan perlembagaan.

Beliau berkata demikian sebagai seruan kepada semua perwakilan UMNO yang akan bersidang di Perhimpunan Agung Umno 2014 dari 25 hingga 29 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Katanya, sepatutnya kita sudah mampu berfikir sendiri dan berdikari membangunkan dasar-dasar pemerintahan mengikut acuan sendiri setelah 57 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Abdullah menambah: “Kemerdekaan telah mengembalikan kuasa pemerintahan kepada pemilik asalnya. Mengiktiraf kewarganegaraan kepada bukan bumiputera tidak sepatutnya mengurangkan kedudukan orang Melayu atau bumiputera sebagai bangsa yang berdaulat di wilayah kedaulatan mereka atau menafikan Islam sebagai teras jati diri bangsa dan negara Malaysia.

“Bahkan orang Melayu sepatutnya, tidak lagi perlu terikat dengan dasar pemerintahan yang dipaksakan oleh penjajah British ke atas mereka. Sebaliknya mereka perlu bebas sepenuhnya merangka dasar mengikut inspirasi dan kepentingan bangsa dan negara,” ujar beliau.

Justeru itu, mereka perlu memiliki pemikiran yang merdeka, memilih acuan sendiri dalam pemerintahan dan pembangunan negara.

Beliau seterusnya menegaskan, pemikiran politik Melayu juga tidak harus dikongkong oleh ketamakan bangsa lain sehingga terpaksa mengambil langkah dan dasar kaku yang mengorbankan cita-cita bangsa sendiri secara berterusan.

“Toleransi dan keterbukaan tidak harus menjadi belenggu yang mengekang kemajuan dan penguasaan Melayu dan bumiputera dalam bidang ekonomi, pentadbiran, politik, perundangan dan sebagainya,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.