Boleh Beri Pandangan, Tapi Ada Adab Yang Harus Diikuti – Zahid

Kuala Lumpur – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata beliau terbuka dengan teguran yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung budaya mengkritik di dalam parti.
Namun beliau menegaskan sebarang teguran yang datang dari mantan Perdana Menteri itu harus berlandaskan adab dan etika supaya kehormatan Umno terus terjaga.
“Boleh memberikan pandangan atau berbeza pendapat, tetapi ada adab-adab yang harus diikuti.
“Saya fikir kita menghormati pandangan Tun Mahathir tapi tentunya ini garis panduan untuk jurucakap. Ini bukan satu kongkongan untuk jurucakap tetapi sekadar garis panduan bagi mengelakkan perkara-perkara yang sensitif dilontarkan semasa bercakap,” ujarnya ketika mengadakan sidang media di Perhimpunan Agung Umno 2014, tengah hari tadi.
Zahid diminta mengulas teguran Mahathir, melalui posting terbaharu di blognya, Che Det mengenai kepentingan budaya pemimpin yang adakalanya sentiasa merasakan apa yang dilakukan itu betul, walaupun terdapat kesalahan dan tidak baik untuk negara.
Mahathir memberitahu Umno kini amat berbeza ketika di zaman kepimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn yang sentiasa berdepan dengan kritikan dan cabaran sesama ahli parti.
“Pemimpin pula perlu dengar teguran ini dan ambil berat pandangan wakil. Janganlah selalu mendengar orang tertentu yang dikeliling kita sahaja. Yang mengeliling orang yang berkuasa tidak baik bagi mereka.
“Sebenarnya sudah saya tegur secara tertutup berkali-kali, terutamanya berkenaan masalah Bumiputera dan Umno. Tetapi tidak berkesan. Teguran secara terbuka terpaksalah dibuat,” katanya.
“Harapan orang Melayu ialah wakil-wakil ke Perhimpunan Umno akan buat teguran terhadap beberapa perkara yang hangat dibincang ramai sekarang,” demikian memetik sebahagian penulisan Mahathir di blognya.
Sementara itu, mengulas dakwaan Datuk Seri Nazri Aziz yang mendakwa Sabah tidak selamat dan tidak akan pergi ke negeri itu tanpa pengawal peribadi, Zahid berpendapat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu hanya merujuk kepada keadaan enam bulan yang lalu.
Tegasnya keadaan di negeri itu sudah jauh berbeza dengan adanya kawalan keselamatan yang ketat daripada Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
“Saya bersetuju dengan pendapat Nazri, ketika enam bulan atau setahun yang lalu. Tetapi keadaan sudah jauh berbeza sekarang kerana ESSCOm telah diketuai oleh seorang pegawai kanan polis dan selaku Menteri Dalam Negeri saya telah menggazetkan untuk jalankan perintah berkurung pada waktu-waktu tertentu
“Saya merasakan bahawa keadaan sudah bertambah baik dan saya akan menjemput Menteri Pelancongan dan Kebudayaan untuk bersama-sama dengan saya tanpa pengawal bagi melawat kawasan berkenaan,” katanya ketika mengulas hal berkenaan.
Sebuah portal berbahasa Cina, Sin Chew Daily semalam melaporkan Nazri berkata Sabah tidak selamat dan beliau tidak akan pergi ke negeri itu tanpa pengawal peribadi.
Nazri berkata walaupun dengan perlindungan pengawal peribadi, beliau tidak akan dapat tidur nyenyak ketika melawat negeri di Bawah Bayu itu kerana kewujudan Esscom menunjukkan tempat itu tidak selamat.
Malah Zahid memberitahu keadaan di kesemua kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) kini semakin selamat dan semakin menunjukkan pertambahan pelancong dari negara China.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.