Azmin Bentang Bajet Paling Tinggi Defesit Dalam Sejarah Pentadbiran Selangor

Shah Alam – Belanjawan Selangor 2015 yang dibentang menteri besar, Azmin Ali menyaksikan jumlah defisit paling tinggi dalam sejarah pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri itu.
Sidang DUN Selangor hari ini diberitahu defisit yang akan terhasil adalah RM450 juta apabila anggaran perbelanjaan sekitar RM2.42 bilion setahun, sementara jumlah anggaran pendapatan pula hanya RM1.97 bilion setahun.
Angka defisit itu jauh lebih tinggi ketika Selangor berada dibawa pimpinan bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, iaitu hanya kira-kira RM1.85 bilion sahaja.
Azmin berkata beliau dan barisan kepimpinan negeri yakin untuk membentangkan bajet sedemikian merujuk kepada kedudukan kewangan negeri yang kukuh.
“Kutipan hasil negeri Selangor bagi tahun 2015 dianggarkan meningkat 6.49 peratus kepada RM1.97 bilion berbanding RM1.85 bilion pada tahun 2014.
“Berdasarkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan meyakinkan, maka kerajaan negeri mencadangkan agar anggaran perbelanjaan 2015 berjumlah RM2,422,500,000 bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan kerajaan khususnya program kesejahteraan rakyat,” kata Azmin ketika membentangkan belanjawan negeri itu 2015 di DUN Selangor, hari ini.
Azmin dalam sidang medianya selepas pembentangan bajet selesai berkata, beliau jamin jumlah belanjawan yang dicadangkan mencukupi dan tidak akan ada belanjawan tambahan, seperti yang diamalkan dalam pemerintahan Khalid sebelum ini.
“Kaedah yang dilakukan ketika pembentangan (dulu), ia dibentangkan dengan kaedah belanjawan berimbang. Tetapi setelah tiga, empat bulan kemudian akan dibawa semula ke dewan dan mengemukakan belanjawan tambahan. Jadi ini menyebabkan perbelanjaan itu bertambah setiap tiga, enam bulan. Saya beri jaminan, tidak ada belanjawan tambahan bagi 2015.
“Bajet yang saya bentangkan tadi telah berjaya menurunkan belanja mengurus dan meningkatkan belanja pembangunan. Ini satu tindakan atau langkah yang berani dan drastik untuk menurunkan belanja mengurus ke tahap 53%,” katanya kepada pemberita di lobi DUN Selangor.
DUN Selangor hari ini diberitahu sebanyak RM1.29 bilion (53.19%) diperuntukan bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.13 bilion (46.81 peratus) bagi perbelanjaan pembangunan.
Pada 2014, jumlah belanjawan negeri bagi kegunaan perbelanjaan ialah sebanyak RM1.225 bilion (66.2%) manakala RM625 juta pula digunakan untuk tujuan pembangunan sekaligus mendapat kritikan keras Azmin yang ketika itu hanyalah ADUN Bukit Antarabangsa.
Ujarnya, Selangor dibawah pimpinan Khalid perlu memperuntukkan lebih banyak dana untuk membangunkan negeri sementelah kerajaan negeri menerima banyak rungutan daripada rakyat akibat pelbagai masalah prasarana dan infrastruktur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.