2 Lelaki Ditahan Kerana Menyebabkan Kematian Perompak

Kuala Lumpur – Dua lelaki ditahan polis, setelah seorang lelaki yang menceroboh rumah mereka mati, selepas berlaku pergelutan antara seorang daripada mereka dengan penceroboh itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, kerana menyebabkan kematian dengan cuai, kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa.

“Identiti suspek (yang menceroboh) masih belum dikenal pasti, berikutan suspek tiada dokumen pengenalan diri, manakala mangsa dan rakannya ditahan untuk siasatan lanjut,” kata Khairi.

Sebelum itu, lelaki terbabit memecah masuk sebuah rumah di Desa Rejang, Wangsa Maju, di ibu negara, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.25 tengah hari itu, seorang juruteknologi di Jalan Pahang yang pulang ke rumahnya untuk berehat, menyedari sepasang selipar dan kain tuala yang mencurigakan.

“Semasa masuk ke dalam rumah, mangsa mendapati suspek bersembunyi di belakang peti sejuk.

“Ketika disergah, suspek telah menolak peti sejuk hingga terbalik dan mengenai mangsa, lalu berlaku pergelutan yang menyebabkan tangan mangsa cedera.

“Bagaimanapun, mangsa berjaya memeluk dan menolak suspek ke lantai, menyebabkan mulut suspek mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Khairi, mangsa kemudiannya menjerit untuk meminta bantuan rakan serumahnya yang berada di tingkat atas rumah itu.

Kedua-duanya bertindak mengikat tangan suspek, dan sebaik selesai, suspek didapati berada dalam keadaan lemah.

“Dua anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) yang tiba di tempat kejadian mendapati, suspek dalam keadaan lemah dan kaku.

“Dia dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan telah meninggal dunia,” kata Khairi.

Beliau berkata, mangsa juga mendapati, suspek telah mengambil beg milik rakannya yang berisi sebuah laptop, tiga telefon bimbit dan satu dompet.

One thought on “2 Lelaki Ditahan Kerana Menyebabkan Kematian Perompak

  • November 26, 2014 at 12:54 am
    Permalink

    Peromapak … dah mati tu biarlah…apahal nak tangkap orang yang menolong negara ini menyapu sampah itu…bodoh punya kerajaan…tak jantan namanya kalau tangkap orang itu…pergi tangkap penjenayah yang sebenarnya yanag sedang bermaharaja lela di malaysia…bodoh polis.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.