Kuala Lumpur – Dalam usaha memartabatkan warisan tekstil negara, Bkay Nair, selebriti dan pereka fesyen terkemuka, sekali lagi mengambil langkah berani untuk menggabungkan elemen menarik dalam pakaian tradisional masyarakat majmuk Malaysia. Menjelang pertunjukan fesyen Malaysian Heritage Showcase 2024 (MHS2024) yang akan berlangsung pada 23 November ini, Bkay memperkenalkan koleksi sari yang unik, dihasilkan dari tekstil batik, mengangkat tema “6 Yards of Beauty (SARI)”
“Sari”, yang sinonim dengan pakaian tradisional masyarakat India, kini diperkenalkan dengan sentuhan batik Malaysia. Bkay Nair menegaskan, “Ini kelainan yang kami bawakan pada tahun ini, di mana antara yang menjadi fokus utama ialah “6 Yards of Beauty (Sari)”. Pakaian sari dari tekstil batik ini bukan sahaja melambangkan warisan dan identiti negara kita tetapi juga merupakan usaha untuk menggalakkan lebih ramai terbabit dalam industri fesyen.”
Dengan misi untuk memberikan platform kepada penghasilan seni batik yang berkualiti, Bkay mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan banduan di penjara negara yang sedang menjalani latihan vokasional dalam pembuatan batik. “Hasil tangan batik daripada banduan di penjara negara ini mempunyai nilai seni yang tinggi dan menjadi daya tarikan utama pada pertunjukan ini,” jelasnya.
Salah satu aspek menarik daripada projek ini adalah kerjasama dengan penjara Kajang, di mana banduan dilatih sebagai pembatik. Proses ini memberikan mereka kemahiran yang boleh dimanfaatkan selepas mereka dibebaskan, sekaligus membantu mereka menjana pendapatan. “Apa yang mereka hasilkan, jika dijual, mereka akan menerima bayaran. Ia memberikan mereka satu sumber pendapatan dan kemahiran apabila keluar dari penjara,” kata Bkay.
MHS2024 bertujuan bukan hanya untuk mempersembahkan keindahan sari tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran tentang potensi dan bakat yang ada dalam kalangan banduan. “Kami mempromosikan kemahiran mereka dan memberitahu masyarakat bahawa penjara Kajang mempunyai butik mereka sendiri yang menghasilkan kain batik,” tambah Bkay.
Mengetahui bahawa industri fesyen kini dipengaruhi oleh Generasi Z, Bkay Nair merancang untuk menjadikan batik sari lebih menarik bagi golongan muda. “Generasi muda lebih kreatif dan memerlukan sesuatu yang berbeza. Mereka tidak mahu benda yang sama sahaja. Kami sedang membina dan memelihara warisan kita sebagai rakyat Malaysia, dan ini adalah minat saya,” ujarnya dengan bersemangat.
Dia berpendapat bahawa dengan memberikan peluang kepada generasi muda untuk berkreasi dengan batik, ia akan menarik minat mereka dan mendorong mereka untuk mengenali serta menghargai warisan budaya mereka sendiri.
MHS2024 dijadualkan akan berlangsung dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Persatuan Pembangunan Perniagaan Fesyen Malaysia (PPPFM). Dengan pengiktirafan kepada pereka terlibat dalam pengangkatan warisan tekstil tempatan, Bkay Nair berharap untuk membuka peluang dan mewujudkan platform bagi pereka muda dan baru dalam industri fesyen.
“Harapan saya adalah untuk melihat industri fesyen di Malaysia terus berkembang dan diiktiraf di peringkat dunia. Dengan sokongan yang ada, saya percaya kita dapat menjadikan batik sari bukan sahaja sebagai satu warisan, tetapi juga sebagai satu produk yang dihargai di seluruh dunia,” katanya.
Dengan pendekatan inovatif dan semangat yang berkobar-kobar, Bkay Nair terus mengekalkan legasi seni batik dan sari dalam konteks moden, sekaligus memastikan bahawa keindahan dan nilai warisan Malaysia tidak akan dilupakan.