KUALA LUMPUR – Penganjur sambutan Guan Gong Sedunia tampil memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China pada malam perarakan di Teluk Intan, Perak, semalam.
Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua menjelaskan perbuatan itu dilakukan oleh rombongan dari negara Tembok Besar itu dan bukan penduduk Malaysia.
Jelasnya, tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola.
“Sebagai pihak yang mengelolakan Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia, saya ingin memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China oleh rombongan negara China (bukan penduduk Malaysia) pada malam perarakan di Teluk Intan, Perak yang berlangsung pada 24 Oktober 2024.
“Sambutan Guan Gong Sedunia merupakan program yang sudah berlangsung banyak tahun dan dianjurkan dari Johor ke Kedah dan Perak merupakan salah satu stesen yang terlibat.
“Dalam setiap program sambutan ini di pelbagai negeri, pihak pengelola akan mengibarkan bendara Malaysia iaitu Jalur Gemilang sebagai simbol patriotisme. Perarakan dan sambutan di Teluk Intan, Perak adalah tidak terkecuali daripada itu.
“Sebagai pihak pengelola, saya sekali lagi memohon maaf atas insiden tersebut dan akan meneliti segala aspek yang perlu diperbaiki demi menjayakan program tersebut,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Terdahulu video perarakan sambutan itu tular di media sosial memaparkan peserta mengibarkan bendera China sekali gus menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.