Elak penyelewengan, lombong haram SPRM cadang SOP penguatkuasaan pengeluaran nadir bumi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan supaya Kerajaan Negeri dan Persekutuan mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang khusus berhubung penguatkuasaan serta pengeluaran hasil nadir bumi (REE).

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, cadangan tersebut adalah hasil siasatan SPRM berkaitan REE yang mendapati tiada SOP khusus bagi pengeluaran mineral dalam tanah, yang mungkin boleh membawa kepada penyelewengan dan perlombongan haram.

“Saya ambil contoh mengenai pengeluaran bauksit. Dahulu, bauksit tidak mempunyai SOP, kemudian barulah ada SOP khas untuk pengeluaran lesen perlombongan tersebut.

“SOP ini penting kerana, jika tiada, sesiapa sahaja boleh melombong tanpa kebenaran, yang akhirnya akan membawa kepada perbuatan mencuri, salah guna, dan sebagainya.

“Jadi, perlu ada SOP yang jelas dan mungkin melibatkan penilaian impak alam sekitar (EIA). Ini penting kerana mungkin esok kita akan menemui mineral baharu selain emas, bijih timah, bauksit, dan lain-lain,” katanya di Putrajaya, lapor Bernama.

Mengulas mengenai peranan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam mewujudkan SOP REE ini, Azam berkata kementerian mempunyai kelulusan tersendiri manakala Kerajaan Negeri mempunyai hak pemilikan terhadap mineral tersebut.

“Namun, dalam pengeluaran nadir bumi, perkara seperti percukaian, Kastam, dan hal-hal berkaitan perlu dibincangkan bersama,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Azam mendedahkan bahawa kelemahan dalam pemantauan serta ketiadaan SOP berkaitan penguatkuasaan berhubung REE adalah punca berlakunya penyelewengan hasil nadir bumi, seperti yang berlaku pada tahun lepas.

Mengulas lanjut, Azam menekankan kepentingan bagi setiap organisasi untuk mengkaji dan menambah baik amalan, sistem, dan prosedur sedia ada bagi menutup ruang kepada gejala rasuah.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat