VIDEO: Lokman Umum Letak Jawatan MT Kalau Zahid Digesa Berundur Jawatan Presiden

Oleh: Naimah Shaari

 

KUALA LUMPUR – Lokman Noor Adam hari ini memberitahu dalam satu video di Facebooknya akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO (AMT) sekiranya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa untuk meletakkan jawatan dalam parti.

Lokman meluahkan rasa kesal dan kecewa ekoran kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada petang hari ini mahukan presiden berehat dari jawatan Presiden bagi memberikan tumpuan kepada pendakwaan kes pertuduhan yang sedang berlangsung di mahkamah pada waktu ini.

Kata Lokman, Asyraf Wajdi sudah gagal menjadi pemimpin yang seharusnya berada di barisan hadapan mempertahankan Zahid termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dari dianiaya dan ditindas oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Lokman turut mempersoal agenda yang tersembunyi oleh ketua tersebut selepas membuat usul agar Zahid bercuti selain menyifatkan Asyraf sebagai buta dan tidak berfikir dengan waras.

“Saya amat-amat kecewa bila mana Ketua Pergerakan Pemuda UMNO mengeluarkan kenyaatan meminta Datuk Seri untuk meletakkan jawatan atau pun berehat sehingga proses kehakiman selesai, kononnya untuk membersihkan nama Datuk Seri.

“Tapi hari ini malangnya, Ketua Pemuda UMNO yang sepatutnya hari ini duduk di barisan hadapan, memperjuangkan nasib rakyat yang ditipu Pakatan Harapan dengan janji-janji palsu yang langsung tidak ditunaikan, dengan isu agama yang semakin hari semakin teruk, diperlekeh, diperkotak-ketikkan oleh regim DAP dan Mahathir.

“Malangnya apabila hari ini presiden kita sudah ditindas, ditekan oleh Mahathir, kita pula jadi ‘bangsat’, kita tekan dan minta supaya presiden kita bercuti. Agenda siapa ini? Agenda ini bapa kamu atau siapa? Apa yang kamu fikir dan nampak?” kata Lokman dengan tegas.

Selain itu, Lokman turut menyatakan kenyataan dan tindakan Asyraf mampu mengundang perpecahan dalam kalangan ahli UMNO dengan cara melaga pemimpin parti sendiri yang seharusnya bersatu mempertahankan pemimpin parti dari ditindas oleh pimpinan Tun Mahathir Mohamad.

“Kamu gagal untuk menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO hari ini dan sibuk mahukan Datuk Seri bercuti. Tak boleh fikir perkara ini akan mengundang perpecahan dalam UMNO sendiri? Apa tujuan? Apa tujuan melagakan pemimpin dalam UMNO?

“Kalau macam ini bentuk kepimpinan yang kamu tonjolkan dan bawakan, minta maaflah halaqah ini gagal membawa roh sebenar Islam, kita patutnya bersatu dengan pemimpin kita bukan kita tekan lagi,” katanya lagi.

Atas gesaan tersebut, Lokman memberitahu dia akan meletakkan jawatan sebagai AMT kerana tidak lagi sanggup berganding bahu dengan pimpinan yang boleh dianggap sebagai musuh parti selain berikrar akan memerangi semua pihak yang menjadi musuh dalam parti UMNO.

Lokman turut mencabar Asyras untuk meletakkan jawatannya sebagai ketua pemuda kerana telah gagal bertindak sebagai pemimpin tinggi untuk memimpin orang bawahan.

“Saya akan letak jawatan saya sebagai ahli majlis tertinggi dan lawan kamu sebagai Ketua Pemuda UMNO. Kalau kamu tak boleh memimpin Pemuda untuk pertahankan parti, bubarkan kerana kamu telah gagal, ada hati nak suruh presiden letak jawatan.

“Saya nak beritahu pemimpin yang bersengkongkol dengan Asyraf Wajidi untuk presiden UMNO berehat atau letak jawatan, saya tak sanggup duduk dalam MT UMNO yang bacul dan dayus, saya akan meletakkan jawatan sebagai MT UMNO dan saya berjanji bahawa saya akan memerangi musuh-musuh UMNO yang duduk dalam UMN,” kata Lokman lagi memberi amaran.

Pemuda UMNO menerusi mesyuarat bulanannya hari ini sebulat suara mencadangkan Ahmad Zahid untuk bercuti seketika daripada jawatan presiden parti sehingga selesai kes pertuduhannya di mahkamah.

Selain reaksi yang diberikan Lokman, anak perempuan Zahid, Nurulhidayah Ahmad Zahid Hamidi turut menyelar cadangan sayap Pemuda UMNO yang mencadangkan agar bapanya bercuti seketika daripada jawatan presiden sebagai penakut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.