UMNO Putrajaya Sifatkan Pemuda UMNO Lembik

KUALA LUMPUR – Sepatutnya Pergerakan Pemuda UMNO mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman kerajaan Pakatan Harapan yang berterusan membuat ‘serangan’ politik menerusi pendakwaan terhadap pemimpin parti itu khusunya kepada Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Namun kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz sebaliknya yang berlaku apabila sayap parti itu hari ini memberi cadangan agar Zahid bercuti sementara waktu sehingga kes pertuduhannya di mahkamah selesai.

Beliau berkata ia membuktikan Pemuda UMNO tidak mempunyai keraguan apabila dilihat akur terhadap kezaliman kerajaan.

“Kita juga sebagai pembangkang wajar mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman kerajaan kerana membuat pendakwaan sebelum siasatan.

“Sepatutnya itu nada Pemuda UMNO. Meminta Presiden berehat, bercuti bermaksud Pemuda akur dengan tindakan zalim kerajaan.

“Sepatutnya Pemuda kena berani ke hadapan dan lawan.

Lebih baik Lokman Noor Bin Adam, Isham Jalil dan Ketua Puteri UMNO lagi. Mereka faham konteks pendakwaan terhadap Presiden dan mereka bertindak melawan.

Pemuda pula lesu dan akur. Pemuda UMNO patut pergi berkursus dengan AMK dan Hishammuddin Rais dulu lah kalau macam ini lembiknya,” katanya menerusi Facebook.

Beliau menyifatkan Pemuda UMNO bukan lagi benteng kepada parti itu.

“Malangnya UMNO dan Presiden kerana Pemuda bukan benteng yang waja. Itu hanya skrip dalam lagu saja,” menurutnya.

Petang tadi selepas bermesyuarat Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan untuk Zahid bercuti sementara bertujuan untuknya memberi tumpuan kepada kes-kes pertuduhannya di mahkamah.

Beliau menafikan ianya merupakan sentimen atau niat jahat untuk menjatuhkan Ahmad Zahid, sebaliknya bagi memberi kebaikan kepadanya supaya dapat berehat. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.